SHARIFUL Azhar menunjukkan tongkat daripada pembukaan masjid yang masih digunakan sehingga kini.
SHARIFUL Azhar menunjukkan tongkat daripada pembukaan masjid yang masih digunakan sehingga kini.
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Walaupun sudah berusia 237 tahun, Masjid Al Jamiul Badawi di sini, masih utuh dan tersergam indah.

Ini kerana pengurusan masjid serta kariahnya menitikberatkan perihal kebersihan serta keceriaan bagi membolehkan generasi akan datang terus dapat memanfaatkan rumah ibadat berkenaan.

Hal itu berjaya dilaksanakan dengan kerjasama anak kariah kawasan itu hingga terbentuknya sebuah jawatankuasa yang di dalamnya terdapat pelbagai biro yang mempunyai tugasan masing-masing dalam memastikan aspek kebersihan masjid serta kawasan sekitarnya terpelihara serta dijaga dengan baik.

Maka tidak hairanlah masjid itu mendapat pelbagai pengiktirafan, anugerah hingga dinobatkan sebagai masjid kedua terbaik di Pulau Pinang pada 2019 selain menjadi masjid kedua yang terpilih untuk mewakili Pulau Pinang dalam kategori Masjid Kariah Terbaik Malaysia tahun lalu.

Pengerusi kariah masjid berkenaan, Datuk Shariful Azhar Othman berkata, beliau yang kini bertanggungjawab menguruskan Masjid Al Jamiul Badawi berbangga dengan pencapaian dan pengiktirafan yang diperoleh rumah ibadat itu walaupun usia masjid sudah melebihi dua abad.

"Setiap masjid mempunyai jawatankuasa, tetapi untuk memperkukuhkan lagi masjid ini, kita mewujudkan biro-biro antaranya kebersihan, keceriaan, dakwah, remaja, teknologi maklumat (IT) dan wanita bagi memastikan penjagaan serta pengurusannya lebih terurus.

"Tambahan pula, Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) tidak membenarkan ia disentuh dan membuat sebarang perubahan yang terlalu banyak pada masjid ini, maka pihak pengurusan menurutinya.

"Disebabkan itu, kubah masjid pun masih yang lama. Ini kerana masjid ini memberi nostalgia dan sinonim kepada Pak Lah bahkan mimbar yang masih ada dibina oleh datuknya iaitu Tuan Guru Abdullah Fahim dan seterusnya digunakan bapanya pula, Datuk Ahmad Badawi yang mana ia masih kekal digunakan hingga kini," katanya.

Jelasnya, disebabkan kedudukan masjid di tengah pekan, ia mendorong pihaknya sentiasa menjaga kebersihan berikutan ramai yang menjadikan masjid itu lokasi persinggahan untuk solat.

MIMBAR yang masih digunakan sejak awal 1960-an di Masjid Al Jamiul Badawi, Jalan Perak.
MIMBAR yang masih digunakan sejak awal 1960-an di Masjid Al Jamiul Badawi, Jalan Perak.

"Ditambah dengan penularan kes Covid-19 maka aspek kebersihan sangat diutamakan pihak pengurusan selain mahu semua jemaah dapat beribadat dalam keadaan selesa," katanya.

Mengungkap sejarah Masjid Al Jamiul Badawi, ia dibina pada 1784 dengan berdindingkan kayu papan dan berbumbung atap.

Katanya, keunikan pada seni bina masjid berkenaan terletak pada kubah yang mana ia dibina daripada batu bata, menjadikan ia tersergam indah walaupun dilihat dari jauh.

"Senibina kubah menampakkan bahawa masjid ini masih mengekalkan konsep binaan tradisional, malah menunjukkan usianya yang sudah beratus tahun.

"Selain itu, kedudukan arah kiblat juga masih sama sejak ia dibina hingga kini," katanya yang turut memaklumkan bahawa masjid itu mampu memuatkan 900 jemaah dalam satu-satu masa.

Seiring dengan pertambahan penduduk, beberapa siri pembangunan baharu masjid dilaksanakan daripada 1804 hingga 1966.

Apabila siap pembinaannya pada 1966, ia dirasmikan Timbalan Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar serta Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak Hussain.

Selepas itu, tiada lagi pembangunan baharu dilaksanakan.

Bagaimanapun, pada 1996, pengerusi kariah pada ketika itu mencadangkan pembinaan bangunan tambahan di bahagian belakang daripada setingkat kepada dua tingkat bagi menampung peningkatan jemaah terutama pada Aidilfitri dan Aidiladha.

Namun struktur binaan lama tidak diusik dan ia kekal hingga kini.

KUBAH yang dibina daripada batu bata menjadikan ia tersergam indah walaupun dilihat dari jauh.
KUBAH yang dibina daripada batu bata menjadikan ia tersergam indah walaupun dilihat dari jauh.

Dalam pada itu, Shariful Azhar berkata, pembiayaan penjagaan masjid itu sebahagian besarnya hasil sumbangan orang ramai serta kutipan sewa melalui tanah-tanah yang diwakafkan kepada pihak masjid.

"Sempena Ramadan ini, kita tidak lagi menyediakan juadah berbuka puasa di masjid sebaliknya kita adakan program penghantaran makanan dari rumah ke rumah.

"Ini kerana disebabkan kedudukan masjid yang berada di tengah-tengah pekan menyebabkan ia menjadi tempat persinggahan ramai. Kita takut tidak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, maka kerana itu kita tidak dapat melaksanakan program berbuka puasa seperti kebiasaannya" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 6:35 AM