Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Masalah ketiadaan ruang untuk mengebumikan jenazah baharu di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Jamiul Badawi di sini berjaya diselesaikan sepenuhnya melalui pelaksanaan kubur bertingkat.

Pengerusi kariah masjid berkenaan, Datuk Shariful Azhar Othman berkata, tanah perkuburan yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun itu sudah padat sehingga pada satu ketika tidak ada lagi ruang untuk pengebumian jenazah baharu.

"Untuk membeli tanah baharu ia memakan kos yang amat tinggi hingga ratusan ribu ringgit. Malah kariah juga tidak mahu kubur terletak jauh.

"Memikirkan aspek-aspek ini, jawatankuasa kariah pada ketika itu membuat keputusan untuk melaksanakan kubur bertingkat dan diterima anak kariah walaupun padanya mempunyai pelbagai bantahan. Selepas dijelaskan dengan masalah yang dihadapi, akhirnya semua menerimanya dengan baik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, kubur bertingkat adalah cetusan idea jawatankuasa kariah masjid selepas mengadakan lawatan ke Tanah Perkuburan Islam Alor Malai, Alor Setar, Kedah.

 Pengerusi Qaryah Masjid Al-Jamiul Badawi, Datuk Shariful Azhar Othman menunjukkan tanah perkuburan Islam Masjid Al Jamiul Badawi di sini, yang dahulunya mempunyai masalah untuk  mengebumikan jenazah baharu berikutan ketiadaan ruang kini sudah diatasi melalui pelaksanaan kubur bertingkat. FOTO DANIAL SAAD
Pengerusi Qaryah Masjid Al-Jamiul Badawi, Datuk Shariful Azhar Othman menunjukkan tanah perkuburan Islam Masjid Al Jamiul Badawi di sini, yang dahulunya mempunyai masalah untuk mengebumikan jenazah baharu berikutan ketiadaan ruang kini sudah diatasi melalui pelaksanaan kubur bertingkat. FOTO DANIAL SAAD

"Hasilnya pada 2002 kubur bertingkat dapat direalisasikan sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi sehingga hari ini.

"Kubur bertingkat ini adalah kubur lama yang ditambak dengan tanah sedalam lebih satu meter yang kemudian di atasnya terdapat jenazah baharu yang akan disemadikan," katanya.

Menurutnya, kubur bertingkat yang dilaksanakan itu juga mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Dalam pada itu, Shariful Azhar berkata, beliau yang bertanggungjawab terhadap pengurusan masjid pada ketika ini menjaga sebaiknya kubur bertingkat supaya ia tersusun dengan baik dan rapi.

"Apatah lagi, kami sering menerima lawatan dari masjid lain yang ingin mempelajari pelaksanaan kubur bertingkat sekali gus menjadikan kami pelopor dalam usaha ini di Pulau Pinang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 1:28 PM