Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pulangan diperoleh sebagai usahawan digunakan sebaiknya dua anak muda, Wan Siti Nur Aisya Wan Hasan dan Mohamad Anas Zahrin Atan untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

Malah, kedua-dua usahawan itu memanfaatkan platform laman sosial masing-masing untuk berkongsi video dengan harapan dapat memberi mesej positif kepada pengikut dan mereka yang menonton.

Wan Siti Nur Aisya, 24, yang juga usahawan produk kecantikan dan kesihatan berkata, latar belakangnya sebagai anak peniaga jalanan serta keluarga penerima zakat mendorongnya untuk membantu golongan kurang bernasib baik .

Menurutnya, kini aktiviti itu menjadi kemestian dan rutin bulanan Wan Nur Aisya selain terapi buat dirinya yang mengalami masalah kemurungan.

"Video dimuat naik baru-baru ini (menghulurkan wang kepada peniaga jalanan) dirakam ketika saya dalam perjalanan ke sebuah bank di Kota Bharu, Kelantan.

"Tak sangka ia mendapat perhatian ramai kerana ikutkan, aktiviti itu sudah menjadi rutin saya termasuk pada bulan Ramadan, cuma jarang dikongsikan kepada umum.

"Segalanya bermula sejak 2018 selepas bertemu doktor akibat masalah kemurungan dan kepuasannya kerana memberi kebahagiaan kepada orang lain dan saya sendiri," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Wan Siti Nur Aisya, suaminya, Al-Hafiz Zakaria, 32, antara individu banyak memberi galakan kepadanya untuk terus membantu mereka yang memerlukan.

Lazimya, wanita yang menetap di Bangi, Selangor itu tidak berseorangan, tetapi akan membawa bersama anak tunggalnya, Rayyan Mikail Al-Hafiz, 5, setiap kali turun ke lapangan.

"Saya gemar membawa anak bersama kerana mahu dia lihat bagaimana kehidupan golongan kurang bernasib baik.

"Saya harap hatinya terbuka untuk jadi individu prihatin yang suka membantu dan memberi.

WAN Siti Nur Aisya bersama suami , Al- Hafiz Zakaria dan anaknya, Rayyan Mikail. FOTO Wan Siti Nur Aisya.
WAN Siti Nur Aisya bersama suami , Al- Hafiz Zakaria dan anaknya, Rayyan Mikail. FOTO Wan Siti Nur Aisya.

"Secara peribadi, saya tenang dan menganggap aktiviti ini seperti 'ubat' bagi masalah kemurungan saya," katanya.

Sementara itu, usahawan produk kecantikan dan makanan, Mohamad Anas Zahrin Atan, 33, turut bersyukur apabila dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Menerusi video dimuat naik di TikTok, baru-baru ini, kelihatan Mohamad Anas menghulurkan sampul kepada beberapa penghantar makanan yang ditemui ketika memandu di satu kawasan.

Mohamad Anas berkata, video itu bukan dimuat naik untuk menunjuk kekayaan, sebaliknya dengan niat memberi inspirasi dan mengajak yang menonton supaya turut sama bersedekah.

"Apa yang dilakukan ini antara cara untuk berkongsi rezeki hasil perniagaan dan setiap bulan, saya akan laksanakan inisiatif diberi nama 'Anas Kongsi Rezeki' dengan cara membantu mereka yang memerlukan terdiri daripada penuntut kurang berkemampuan atau sesiapa saja dirasakan perlu.

"Secara tidak langsung , saya gunakan pengaruh di laman sosial untuk memberi inspirasi kepada pengikut bahawa tidak semestinya perlu kaya untuk bersedekah.

"Lagipun, saya percaya dalam rezeki kita ada bahagian orang lain, jadi mengapa tidak kongsikannya dengan yang memerlukan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagi Mohamad Anas, melihat individu lain tersenyum sudah cukup menggembirakan dirinya.

Katanya, walaupun tidak banyak yang mampu diberikan, senyuman terukir di wajah penerima sudah cukup membuatnya puas.

"Rezeki datang daripada Allah dan saya sekadar perantara bagi membantu mereka yang mungkin dalam kesusahan.

"Pertemuan dengan golongan itu sebenarnya membuatkan saya bersyukur atas nikmat diberi dan sedar ramai lagi di luar sana yang susah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 8:47 PM