Rosman Shamsudin


PENIAGA di Tanjung Malim sanggup berhabis ribuan ringgit untuk menukar Proton Wira keluaran 1996 miliknya sehingga 'berwajah' Mitsubishi Lancer Evo III.

Proton Wira 1500cc itu dibeli daripada seorang rakan pada 2007 dengan harga RM17,000 kini bertukar wajah umpama klon Mitsubishi Lancer Evo III Rothmans Rally New Zealand 1996.

Pemiliknya, Mohamad Shahrul Jaman, 35, berkata, dia mengambil masa selama dua tahun dengan kos kira-kira RM30,000 untuk modifikasi kereta terbabit di sebuah bengkel rakannya.

Katanya, untuk modifikasi keseluruhan enjin saja, sebanyak RM18,000 dibelanjakan terutama ketika menukar enjin Proton Wira kepada enjin 4G93-1800CC yang sudah didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

KEADAAN Proton Wira yang dibeli pada 2007 sebelum ditukar wajah menjadi Mitsubishi Lancer Evo III. FOTO ihsan Mohamad Shahrul Jaman
KEADAAN Proton Wira yang dibeli pada 2007 sebelum ditukar wajah menjadi Mitsubishi Lancer Evo III. FOTO ihsan Mohamad Shahrul Jaman

"Rim kereta menggunakan rim Rally Enkei bersaiz 15 inci dan bahagian depan kereta pula dipasang dengan menggunakan bahagian kereta jenis Libero Monte.

"Bahagian bonet pula menggunakan EVO 3 dan bahagian hud kereta adalah klon Mitsubishi Lancer," katanya ketika ditemui hari ini.

Mohamad Shahrul berkata, untuk merealisasikan impian memodifikasi Proton Wira kepada sebuah kereta rali kegemarannya, dia menggunakan pelekat Rothmans asli yang didapatinya di sebuah kedai aksesori di Ipoh.

Katanya, selepas kereta itu bertukar wajah menjadi kereta impiannya, dia sering kali menyertai pertandingan Auto Show di sekitar Perak mulai 2016 sehingga sekarang.

MOHAMAD Shahrul bersama kereta kesayangannya. FOTO Rosman Shamsudin
MOHAMAD Shahrul bersama kereta kesayangannya. FOTO Rosman Shamsudin

"Sebanyak 20 piala berjaya dimenangi, antaranya mendapat tempat pertama dalam kategori modifikasi kereta rali yang dianjurkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2017.

"Tempat pertama kategori pelekat terbaik di Bukit Merah Lake Town Resort, Bukit Merah pada 2019 dan memenangi tempat pertama dalam kategori Proton Convert dekat Batu Gajah pada 2016," katanya.

Katanya, paling manis ketika memenangi Anugerah Pilihan Penonton kategori kereta modifikasi di Teluk Batik pada 2017.

Dia berkata, bukan kemenangan atau kejayaan yang dikejarnya tetapi minat dan memenuhi impian memiliki sebuah kereta rali sendiri.

Di samping itu, dia juga gemar mengumpul barangan koleksi keluaran Rothmans iaitu jam, beg sandang, baju, topi dan sebagainya asalkan berjenama terkenal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 11:02 AM