KEKAL asli.
KEKAL asli.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Dua kereta terawal keluaran nasional iaitu Proton Saga dan Proton Wira sebenarnya direka berasaskan model Mitsubishi Lancer.

Mitsubishi Lancer adalah kereta keluaran Mitsubishi Motors dan sejak diperkenalkan pada 1973, lebih enam juta dijual dengan ditawarkan pelbagai varian di seluruh dunia.

Setiap tempat ia dikenali dengan pelbagai nama yang berbeza seperti Colts Lancer, Chrysler Valiant Lancer, Eagle Summit, Hindustan Lancer, Mitsubishi Carisma dan sebagainya.

Namun di Malaysia, Mitsubishi Lancer varian A174 lebih dikenali sebagai Lancer Kotak berikutan rupa bentuknya.

Bagi penjawat awam bahagian teknikal, Shaiful Halimi, 30, Mitsubishi Lancer A174 keluaran 1980 yang dimiliki sejak 2006 menerima banyak perubahan khususnya bahagian enjin.

Sejak dimiliki, jentera itu menjalani proses restorasi secara keseluruhan membabitkan bahagian enjin dan dalamannya.

Selepas bahagian enjin diperkemaskan, jentera itu mula ‘disumbat’ dengan nadi baru yang berkuasa iaitu rangkaian kuasa SR20DET bersesaran 2,000cc daripada Nissan Silvia S14.

Sememangnya enjin itu sudah mantap, namun pemilik masih tidak berpuas hati lalu menambah beberapa komponen berprestasi bagi meningkatkan kuasanya.

Enjin terbabit menggunakan omboh Wiseco dan kemudian dipadankan dengan turbin Garret AR70 yang dipasang pada pancarongga.

Turut dipasang adalah wastegate HKS 40 milimeter, manakala intercooler ‘gergasi’ digunakan daripada Nissan Skyline R32.

Ruang enjin tampak cantik berkilau apabila paip getah digantikan dengan saluran alloy Blitz. Malah, pelbagai komponen lain turut digunakan membabitkan ‘blow-off’ GReedy, pengawal bahan api Tomei dan banyak lagi bagi menghasilkan kuasa melebihi 450 kuasa kuda (hp).

Pengendaliannya dikawal suspensi boleh laras RSR lengkap bersama ‘Pillowball’ Cusco pada bahagian hadapan, manakala belakang dikendalikan penyerap hentak GAB dengan gegelung kenderaan jenama Volvo.

Bahagian dalaman jentera pula unik di mana tempat duduk yang menggunakan Recaro Fishnet dibalut dengan material fabrik tulisan Bride, manakala bahagian papan permukaan dilengkapi meter ‘lima beradik’ GReddy.

Meter kelajuan digunakan daripada kenderaan Nissan Silvia S14 dengan padanan stereng Nissan Skyline R32 GT-R .

Bahagian luaran tampak standard selepas mengekalkan kit badan asal di samping gayanya lebih terserlah dengan rim 18 inci Speed Star.

Selain itu bumbung suria Honda Civic EK turut dipasang bagi memberi kelainan pada jentera berkenaan.

Jentera yang menelan kos restorasi hampir RM40,000 sebenarnya tidaklah mudah untuk terlepas pandang daripada juri ketika memasuki pertandingan berikutan kekemasan serta keunikannya.

Sepanjang hampir lima tahun terbabit dalam dunia autoshow, jentera itu memiliki lebih 30 piala termasuk menerima hadiah wang tunai.

INFO

MITSUBISHI LANCER A174 KELUARAN 1980

- Ubah suai enjin:

• Enjin Nissan Silvia S14 SR20DET

• Omboh Wiseco

• Turbin Garret AR70

• Manifold Banana Tongka

• Wastegate HKS 40mm

• Intercooler Nissan Skyline R32

• Blow-off GReedy

• Pengawal bahan api Tomei

- Ubah suai dalaman:

• Recaro Fishnet balut fabrik tulisan Bride

• Lima meter Greedy

• Meter kelajuan Nissan Silvia S14

• Stereng Nissan Skyline R32 GT-R

• Bumbung suria Honda EK

- Ubah suai luaran:

• Suspensi boleh laras RSR

• Penyerap hentak GAB

• Gegelung Volvo

• Rim 18 inci Speed Star

- Kos modifikasi:

• RM 40,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:00 AM