Oleh Erywan Norshal

Ini kali pertama ruangan Modifikasi memaparkan Proton Saga generasi pertama yang diubah suai sepenuhnya menjadi model Mitsubishi Lancer Fiore.

Sebenarnya, bukan mudah mengubah suai kenderaan yang 'berumur' kerana kesukaran mencari barangan gantian, selain kos sedikit mahal berbanding kereta lain.

Namun, ia bukan menjadi penghalang buat Arul Jack MariaMicheal, 28, yang mengambil alih tugas menjaga kereta bapanya iaitu model Proton Saga keluaran 1987 untuk dijadikan jentera projek bagi pertandingan autoshow.

Proses modifikasi itu bermula dengan menukar enjin Mitsubishi 4G91 berkapasiti 1.5 liter sebelum mengubah suai komponen lain seperti menggunakan ekzos lebih besar serta merendahkan kereta dengan suspensi boleh laras jenama GAB.

Malah, prestasi enjin itu ditingkatkan lagi dengan menukar klac Exedy enam kaki dan saluran penapis udara perlumbaan.

Tidak berpuas hati dengan penampilan kenderaan itu, Arul Jack meminta pertolangan rakannya di kedai kenderaan terpakai untuk mencari komponen Mitsubishi Lancer Fiore di Jepun atau Thailand.

Kereta Proton Saga itu kini 'disalin' sepenuhnya oleh kit badan Mitsubishi Lancer Fiore sehingga bahagian belakang asalnya terpaksa dipotong tiga inci bagi memuatkan bampar, bonet dan perumah lampu jentera daripada Jepun.

Ruangan dalamannya turut ditukar komponen Mitsubishi Lancer Fiore membabitkan papan pemuka, panel pintu, stereng, konsul tengah dan tempat duduk. Bagaimanapun, ruang itu diceriakan lagi apabila separuh bahagian dalamannya dibalut semula dengan warna hitam dan merah.

Bagi memberi pencahayaan dalaman yang lebih baik, kenderaan ini dipasangkan dengan bumbung matahari daripada Toyota AE 92 yang dibeli daripada kedai kenderaan terpakai.

Sejak mengambil alih hak penjagaan kereta itu, Arul Jack mengeluarkan kos sehingga RM30,000 untuk melakukan modifikasi dalam tempoh enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:01 AM