DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Rosyahaida Abdullah


JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara kembali merekodkan angka dua digit selepas merekodkan hanya 15 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu 7,619 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 15 kes baharu yang dilaporkan itu, ada enam kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Beliau berkata, baki sembilan kes berkaitan penularan tempatan dengan empat kes membabitkan bukan warga Malaysia.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dalam negara juga terus bertambah kepada 6,083 kes, 79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, peningkatan itu susulan pertambahan 42 lagi kes pulih dan dibenarkan discaj daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

"Keseluruhannya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,421 kes.

"Seramai lapan pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat jam 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 115 kes, 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 5:30 PM