Shamran Sarahan dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Redzuan Muharam


JANGKITAN baharu Covid-19 dalam negara merekodkan 31 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,369 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 31 kes baharu yang dilaporkan itu, sebanyak 11 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Katanya, baki 20 kes lagi berkaitan penularan tempatan dengan 19 daripadanya jangkitan dalam kalangan bukan warga Malaysia, hanya satu kes membabitkan warga tempatan.

"Hanya satu kes dalam kalangan warga Malaysia iaitu kes di Selangor bagi saringan pusat tahfiz.

"Perincian bagi 19 kes dalam kalangan bukan warganegara adalah membabitkan 16 kes Kluster Pedas di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes bagi Kluster Kampung Sungai Lui, Selangor, Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur dan kes saringan pekerja di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 51 kes yang pulih daripada Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan discaj wad sebanyak 7,065 kes, 84.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 membabitkan 1,186 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Sehingga kini, hanya lima pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), tiada daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya

Dalam pada itu, beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 118 kes, 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 5:31 PM