GAMBAR kenangan Ummi Faezatul (kiri) bersama Hadi Syafiq. FOTO Ihsan pembaca
GAMBAR kenangan Ummi Faezatul (kiri) bersama Hadi Syafiq. FOTO Ihsan pembaca
Mohd Roji Kawi

“KITA hanya merancang, namun takdir menentukan ia menjadi nyata atau sebaliknya,” kata Ummi Faezatul Fadella Yaakub, teman wanita salah seorang mangsa kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang di Kota Tinggi, malam kelmarin.

Ummi Faezatul, 28, yang tinggal di Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan berkata, kekasihnya Hadi Syafiq Jamil, 28, sudah membuat persediaan rapi untuk mendirikan rumah tangga dengannya.

Malah katanya, Allahyarham juga sudah membeli rumah di Johor sebagai persediaan untuk membawanya bersama tinggal di tempat kerjanya di Pengerang.

“Arwah sudah membeli cincin untuk melamar saya malah dia juga sudah menyediakan rumah di Johor.

“Dia berjanji akan melangsungkan pernikahan kami selepas rumah itu siap diubah suai,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Menurut Ummi Faezatul, mereka saling mengenali sejak kecil lagi kerana sama bersekolah di Sekolah Kebangsaan RPR Astana, di Petra Jaya.

“Malah keluarga kami juga saling mengenali dan dia sering berjumpa keluarga saya, begitu juga saya.

“Kami berkawan sejak kecil hinggalah mengikat janji untuk hidup bersama. Arwah bekerja di Johor sejak dua tahun lalu dan dia berusaha mengumpul wang untuk kami memulakan hidup baru, malah dia sudah menjalani kursus perkahwinan,” katanya.

Namun Ummi Faezatul agak terkilan kerana ketika kali terakhir Hadi menghubunginya pada jam 9.17 malam kelmarin, dia tergesa-gesa memutuskan perbualan.

“Ketika itu saya sedang makan malam dan melayan dia acuh tak acuh sahaja. Malah ketika dia mengucapkan ‘i love you’ saya tidak membalasnya.

“Saya menyesal dan terkilan kerana tidak menyangka itu perbualan terakhir kami. Sebelum saya memutuskan talian, dia ada berjanji untuk hubungi semula,” katanya.

Katanya lagi, keesokannya dia terus menghubungi Hadi, namun gagal dan selepas itu kira-kira jam 9 pagi (semalam) dia menerima panggilan daripada seorang kawan mengatakan Hadi hilang dalam kebakaran di tempat kerjanya.

Selepas menerima panggilan itu, Ummi Faezatul terus mencari maklumat baharu dan akhirnya hatinya luluh selepas bapa Hadi sendiri mengesahkan kekasihnya itu antara mangsa yang maut dalam kejadian itu.

“Seperti ibu bapanya, saya juga mengharapkan jenazah Hadi dapat dibawa balik ke rumah keluarganya di Batu 12, Jalan Puncak Borneo.

“Saya ingin melihatnya buat kali terakhir,” katanya sambil memaklumkan keluarga Hadi sedang berusaha untuk membawa balik jenazahnya ke Kuching.

Dalam insiden kebakaran dan letupan yang berlaku kira-kira jam 10.50 malam Ahad itu, lima mangsa rentung manakala dua lagi parah.

Empat mangsa yang maut dan ditemui adalah Fadhi Akmal Fadzil,25, Azarul Ashraf Nor Akmal Zolkarnain, 28, Norfazly Md Nor, 32,dan Che Huzaydy Che Harun, 26.

Jenazah mangsa kelima, Hadi Syafiq yang dilaporkan hilang sebelum itu ditemui bomba kira-kira jam 12.42 tengah hari semalam.

Seorang lagi mangsa, dikenali sebagai Arnado Alexander, 28, parah apabila melecur 70 peratus manakala Mohd Saiful Amat, 29, pula yang berjaya menyelamatkan diri dilaporkan melecur 40 peratus pada tubuhnya

Berita berkaitan

Reda, harap urusan jenazah dipercepatkan

Tragedi Pengerang: Polis ambil DNA keluarga mangsa

Tragedi Pengerang: Tiada unsur khianat, pengganas

Tak sempat timang cahaya mata pertama

12 jam padam kebakaran

Operasi digantung sementara

Tiba-tiba mesej arwah terhenti...

MB ucap takziah

Cermin tingkap rumah bergegar

Pesanan terakhir abang

Sultan Johor ucap takziah

Seorang lagi mangsa letupan Pengerang ditemui rentung

Identiti 4 mangsa rentung dikenal pasti

Letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang: 4 rentung, 1 parah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 7:55 PM