ANGGOTA bomba dan penyelamat memadam kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba dan penyelamat memadam kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang. FOTO Ihsan Bomba.
Mohamed Farid Noh


TIADA unsur khianat mahupun serangan pengganas dikesan dalam tragedi kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang, malam kelmarin.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Mydin Pitchay berkata, siasatan kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepenuhnya bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

“Polis hanya akan membuat siasatan jika ada unsur sabotaj, khianat mahu pun serangan pengganas dikesan pada fasiliti berkenaan.

“JBPM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas siasatan tragedi berikutan tiada unsur di atas dikesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Dalam insiden pada 10.50 malam Ahad itu, lima mangsa rentung manakala dua lagi parah.

Empat mangsa yang maut dan ditemui malam kelmarin adalah Fadhi Akmal Fadzil, 25; Azarul Ashraf Nor Akmal Zolkarnain, 28; Norfazly Md Nor, 32; dan Che Huzaydy Che Harun, 26.

Manakala mangsa kelima, Hadi Syafiq Jamil, 28, ditemui pada 12.42 tengah hari semalam.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Arnado Alexander, 28, parah apabila melecur 70 peratus manakala Mohd Saiful Amat, 29, pula yang berjaya menyelamatkan diri dilaporkan melecur 40 peratus.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, proses bedah siasat mayat lima mangsa yang rentung itu dilakukan hari ini.

Katanya, bedah siasat dikendalikan pakar patologi dari Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas mengunjungi tapak kejadian di Pengerang, Kota Tinggi bagi mengambil sampel mangsa pada 11 pagi tadi.

“Pakar patalogi juga akan mengambil data asid deoksiribonukleik (DNA) daripada keluarga mangsa bagi tujuan pengecaman sebelum mayat dapat dituntut, ” katanya ketika dihubungi.

Berita berkaitan

12 jam padam kebakaran

Operasi digantung sementara

MB ucap takziah

Cermin tingkap rumah bergegar

Pesanan terakhir abang

Sultan Johor ucap takziah

Seorang lagi mangsa letupan Pengerang ditemui rentung

Identiti 4 mangsa rentung dikenal pasti

Letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang: 4 rentung, 1 parah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 12:19 PM