PAPARAN video tular yang menunjukkan seorang lelaki melakukan provokasi terhadap seorang penuntut di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam. FOTO Tular
PAPARAN video tular yang menunjukkan seorang lelaki melakukan provokasi terhadap seorang penuntut di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam. FOTO Tular
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI bertindak meludah dan menumbuk kereta milik penuntut akibat perselisihan faham ketika menukar lorong di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Kejadian buli jalan raya yang berlaku pada 4.45 petang mula tersebar di Facebook (FB) semalam.

Berdasarkan video dirakam mangsa, suspek lelaki berusia 50-an dilihat keluar dari kereta Toyota Fortuner dalam keadaan marah dan menumbuk kereta dinaiki mangsa.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian dari mangsa.

“Kejadian berlaku di Jalan Teknologi dipercayai akibat perselisihan faham ketika menukar lorong.

“Mangsa yang berusia 22 tahun membunyikan hon menyebabkan berlaku perselisihan faham,” katanya.

Nik Azanee berkata, polis kini mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 4:03 PM