PENGAWAL keselamatan maut selepas digilis lori dalam kejadian langgar lari di persimpangan lampu isyarat Puncak Alam di Shah Alam, hari ini. FOTO NSTP
PENGAWAL keselamatan maut selepas digilis lori dalam kejadian langgar lari di persimpangan lampu isyarat Puncak Alam di Shah Alam, hari ini. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PENGAWAL keselamatan maut selepas dirempuh kenderaan berat dipercayai lori dalam kemalangan langgar lari di Jalan Bukit Cherakah, dekat Shah Alam, hari ini.

Dalam kejadian 7.41 pagi itu, mangsa, Mohd Yazid Mohd Kamdani, 43, dalam perjalanan pulang ke Meru, Klang selepas pulang dari tempat kerja di Alam Denai.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang berada di persimpangan lampu isyarat hilang kawalan selepas terlanggar batu di bahu jalan di sebelah kiri menyebabkan dia tercampak ke tengah lorong.

“Ketika kejadian, kenderaan berat dipercayai lori menggilis mangsa kerana tidak menyedari mangsa berada di atas jalan.

“Lori berkenaan meneruskan perjalanan kerana tidak menyedari sudah menggilis mangsa,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Azman berkata, mangsa parah di kepala akibat digilis lori berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Polis memohon saksi bebas yang mempunyai maklumat berhubung kejadian melaporkan kepada mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 6:33 PM