RAKAMAN gambar yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN gambar yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis giat mengesan seorang lelaki yang berlagak samseng dalam kejadian buli jalan raya di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berdekatan Plaza Tol Bukit Raja, kelmarin.

Ia susulan tular rakaman video berdurasi 57 saat mengenai insiden berkenaan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa membabitkan wanita berusia 41 tahun membuat laporan mengenai insiden berkenaan pada hari yang sama.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku kelmarin sekitar 2.50 petang apabila seorang lelaki menaiki kereta Honda berwarna putih yang tidak berpuas hati kerana mangsa menukar lorong.

"Suspek bertindak memberhentikan kenderaannya di hadapan kenderaan mangsa ketika di laluan tengah jalan raya kemudian memarahi dan memaki-hamun mangsa serta suami.

"Ketika ingin beredar, lelaki berkenaan didapati membaling objek yang tidak dikenal pasti ke arah kereta mangsa," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, tiada pergaduhan secara fizikal berlaku dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Syer Aidid Rusazman Sharan di talian 019-2223361," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 10:41 AM