ZAIDI masih berharap pembelaan terhadap kematian anaknya.
ZAIDI masih berharap pembelaan terhadap kematian anaknya.
Samadi Ahmad


SUDAH dua minggu kejadian berlaku, namun keluarga arwah Nur Aida Rafhanah Zaidi tidak henti berharap supaya pelaku yang menyebabkan kematiannya dibawa ke muka pengadilan.

Bekas pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang itu menjadi korban langgar lari selepas dirempuh ketika melintas jalan di Kilometer 11 Jalan Banting-Dengkil dekat Kuala Langat pada 21 Januari lalu.

Bapanya, Zaidi Zainal Abidin, 43, berkata, mereka sekeluarga berharap polis dapat mengesan pelaku itu dan mengenakan hukuman setimpal ke atasnya.

“Arwah Nur Aida adalah anak sulung saya yang periang dan sangat bertanggungjawab membantu keluarga, terutama menguruskan empat adiknya ketika saya dan isteri tiada di rumah.

“Sehingga kini kami masih bersedih dan masih sukar memaklumkan kehilangannya kepada anak bongsu berusia dua tahun yang rapat dengan Nur Aida.

“Setiap hari dia bertanya mengenai arwah kakaknya, mengapa arwah masih tidak pulang dari sekolah dan menunggu,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurutnya, kehilangan arwah anaknya itu memberi kesan ketara kepada keluarga mereka terutama buat dirinya dan isteri Suzana Kasim, 36.

“Antara kata-katanya yang kami tidak akan lupa sehingga kini adalah arwah mahu belajar bersungguh sungguh dan menjadi seorang guru bagi mengubah nasib keluarga,” katanya.

Difahamkan sehingga kini, polis masih mengesan suspek kes langgar lari itu.

Pada 26 Januari lalu, kira-kira 300 penduduk Kampung Olak Lempit berhimpun berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit bagi menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk berikutan laluan berkenaan.

Mereka juga mahu pihak bertanggungjawab memberi perhatian sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 10:42 AM