AHLI keluarga mengusung jenazah pasangan selepas menuntutnya di HTK.
AHLI keluarga mengusung jenazah pasangan selepas menuntutnya di HTK.
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


“MEREKA pasangan sukar dipisahkan. Malah, mereka tidak pernah berenggang termasuk ketika ke masjid untuk sembahyang berjemaah. Tidak sangka ajal menjemput mereka serentak,” kata Kalshom Sukim, 54.

Dia jelas tidak dapat menahan sedih susulan kematian kakaknya, Fatimah, 56, yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 7 malam kelmarin di Hospital Sungai Buloh (HSB) iaitu kira-kira lima jam selepas suami Fatimah, Erpah Yusuf, 60, meninggal dunia jam 2 petang di rumah adik iparnya di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Difahamkan, pada 22 Januari lalu, Fatimah ditahan di wad Hospital Tanjong Karang (HTK) kerana mengalami demam panas manakala Erpah dirawat sebagai pesakit luar selepas mengalami simptom sama.

Doktor kemudian membenarkan Fatimah pulang ke rumah sehari kemudian selepas dia pulih namun didapati demam semula keesokan harinya hingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri.

Kalshom berkata, dia tidak menyangka pasangan suami isteri itu pergi serentak dalam sehari.

Dia yang menetap di Taman Malawati Jaya, Kuala Selangor berkata, Fatimah kerap menghubunginya dan bertanya khabar sebelum jatuh sakit.

“Arwah kakak ada menyatakan hasrat untuk memakai baju kurung moden dan dia minta saya jahit (baju kurung) itu sama seperti baju arwah emak kami (Kasinah Kasiman) yang meninggal dunia 15 tahun lalu.

“Saya anggap permintaan arwah itu istimewa namun tidak sangka arwah pergi terlebih dahulu bersama suami tercinta,” katanya ketika ditemui di rumah pasangan suami isteri itu di Kampung Bukit Belimbing, di sini, semalam.

Perbualan antara wartawan dan Kalshom terhenti seketika apabila dia tidak dapat menahan sebak mengenang kejadian yang menimpa pasangan itu.

“Kakak orang yang paling rapat dengan saya, tempat saya mengadu waktu senang dan susah, Allah SWT panggil pulang buat selamanya. Sebagai adik, saya reda walaupun perit menerima hakikat ini,” katanya.

GAMBAR terakhir  Fatimah dan Erpah bersama keluarga.
GAMBAR terakhir Fatimah dan Erpah bersama keluarga.

Dalam pada itu, Kalshom meminta masyarakat tidak membuat spekulasi dan mengaitkan kejadian itu dengan wabak koronavirus.

“Saya sekeluarga mohon semua di luar sana untuk sebarkan perkara yang benar dan jangan menokok tambah di luar pengetahuan.

“Pihak keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan arwah dan semua yang membantu terutama pihak hospital,” katanya.

Sementara itu, adik ipar Fatimah, Khuzaimah Che Hussin, 40, berkata, pasangan suami isteri terbabit tidak pernah berenggang antara satu sama lain.

“Mereka contoh pasangan yang baik. Satu kampung kenal peribadi mereka berdua. Tak sangka ajal mereka pun sekali,” katanya.

Pasangan suami isteri itu meninggalkan tiga anak berusia 20 hingga 30 tahun.

Difahamkan, jenazah Erpah dan Fatimah selesai menjalani proses bedah siasat dan dituntut ahli keluarga petang semalam. Pasangan itu kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang di sini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan perkara itu namun ia tiada kaitan dengan kes koronavirus baharu (2019-nCoV).

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 8:00 AM