PENDUDUK kampung menurunkan satu daripada jenazah mangsa kemalangan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Tujuh, Kampung Sungai Sireh. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
PENDUDUK kampung menurunkan satu daripada jenazah mangsa kemalangan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Tujuh, Kampung Sungai Sireh. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


“SEMINGGU sebelum kakak meninggal dunia, dia ada menghantar mesej kepada saya melalui WhatsApp, namun, perbualan itu dipadam terlebih dahulu olehnya.

"Dia turut berkongsi gambar bersama cucunya, Aniq Anaqi, enam bulan, ketika bercuti di Genting Highlands, Sabtu lalu dan itu adalah gambar terakhir sebelum dia sekeluarga pergi buat selamanya," kata Sariyani Amat, 45, adik kepada Siti Fatimah, 55, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 43, Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Siti Fatimah serta suami, Abd Rahim Abd Ghani, 61, bersama anak dan cucu mereka, Munira Abd Rahim, 30 dan Aniq Anaqi terkorban selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori.

Sariyani berkata, dia sempat bertemu Siti Fatimah dan Abd Rahim ketika menziarahi anak saudara mereka yang terbabit kemalangan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, malam Isnin lalu.

ADIK Siti Fatimah, Sariyani Amat, 45 menunjukkan gambar terakhir arwah kakaknya bersama cucu, Aniq Anaqi Mohamad Fazzli ketika bercuti di Genting Highland. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ADIK Siti Fatimah, Sariyani Amat, 45 menunjukkan gambar terakhir arwah kakaknya bersama cucu, Aniq Anaqi Mohamad Fazzli ketika bercuti di Genting Highland. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

"Sewaktu menziarahi anak saudara, saya perasan suami kakak tidak bercakap banyak. Kebiasaannya, dia sangat peramah dan suka bergurau bersama ahli keluarga lain.

“Kakak juga hanya mendiamkan diri dan berpesan kepada saya agar menjaga diri. Itu kali terakhir saya berjumpa mereka berdua," katanya.

Sariyani berkata, dia menerima berita kematian keluarga kakaknya itu ketika berada di tempat kerja.

"Ketika itu, saya sedang berehat di tempat kerja, tiba-tiba ahli keluarga menghubungi saya dan memaklumkan kakak dan suaminya meninggal dunia dalam kemalangan.

"Lebih mengharukan, anak kakak dan bayinya juga pergi buat selamanya. Seluruh badan menggeletar saat menerima perkhabaran pilu itu," katanya.

Sementara itu, anak Siti Fatimah, Sarina Abd Rahim, 29, berkata, dia sempat meluangkan masa bersama ibu, kakak dan anak buahnya ketika bapanya pergi ke Indonesia.

"Minggu lalu, ayah ke Dumai, Sumatera untuk bertemu dengan ahli keluarganya di sana dan saya mengambil peluang menghabiskan masa bersama mereka bertiga berjalan di sekitar Shah Alam dan Kuala Selangor.

"Saya turut bersama mereka mengambil ayah di Pelabuhan Klang, Rabu lalu," katanya.

Menurutnya, bapanya turut merancang melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga sepanjang tahun ini termasuk bercadang melakukan korban sempena Aidiladha.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 8:42 PM