NOTIS penutupan dua kelas tahun 2 Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Li Hwa, Butterworth ditutup 11 hari bermula hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
NOTIS penutupan dua kelas tahun 2 Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Li Hwa, Butterworth ditutup 11 hari bermula hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
BERNAMA

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengesahkan menerima laporan penutupan sekolah di beberapa negeri antaranya Pulau Pinang dan Selangor apabila terdapat pelajar disahkan positif influenza A.

Kementerian kini meneliti perkembangan terkini wabak itu di semua institusi pendidikan khususnya di sekolah.

“Kementerian melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan melakukan pemantauan berterusan di sekolah yang terlibat,” menurut KPM dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak sekolah juga diminta mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard Pengawalan Penularan Wabak Influenza A yang dikeluarkan, dengan sebarang operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

“Sekolah diingatkan juga untuk memantau pelajar atau warga sekolah yang dijangkiti wabak ini. Sekiranya terdapat tanda jangkitan, pelajar perlu diasingkan, berhubung dengan ibu bapa untuk dihantar pulang bagi mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pengetua dan guru besar turut diingatkan sentiasa mewujudkan kesedaran akan bahaya wabak itu kepada semua warga sekolah dengan mengamalkan amalan kebersihan diri yang sempurna.

“Kerjasama juga diharap daripada ibu bapa supaya peka terhadap kesihatan anak dan tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah.

“KPM memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas dan serius bagi memastikan kesihatan pelajar dan warga sekolah sentiasa terjamin,” menurut kenyataan itu.

Influenza jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 5:00 PM