RADZI (tengah) bersama pengurusan tertinggi KPM ketika mesyuarat pengurusan jangkitan Covid-19 di Putrajaya, semalam. FOTO FB Dr Radzi Jidin.
RADZI (tengah) bersama pengurusan tertinggi KPM ketika mesyuarat pengurusan jangkitan Covid-19 di Putrajaya, semalam. FOTO FB Dr Radzi Jidin.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Penyelarasan kebenaran pulang ke rumah bagi pelajar di institusi pendidikan, sempena cuti Tahun Baharu Cina antara yang dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan jangkitan Covid-19 Kementerian Pendidikan (KPM), semalam.

Menteri Kanan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, mesyuarat yang dihadiri pengurusan tertinggi dan pegawai KPM itu menyentuh perkara penting berkaitan pengurusan operasi institusi pendidikan ketika pandemik yang memerlukan perhatian segera.

Katanya, KPM sentiasa berusaha mendapatkan pendekatan terbaik untuk mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan warga sekolah, khususnya pelajar di sekolah berasrama.

"Kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan nasihat berkaitan perkara itu.

"Kami mohon kerjasama semua pihak, khususnya ibu bapa, murid dan guru untuk sama-sama membantu serta menyokong usaha KPM untuk memastikan murid dapat terus mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan selamat," katanya menerusi Facebook.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, kerajaan menunggu laporan terperinci daripada jawatankuasa protem untuk menentukan sebarang pertimbangan membabitkan isu peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah.

Laporan itu katanya, akan diperoleh selepas jawatankuasa berkenaan mendengar pembentangan daripada KPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 9:46 AM