BANDUAN Penjara Marang gembira selepas selesai menduduki  peperiksaan SPM, semalam.
BANDUAN Penjara Marang gembira selepas selesai menduduki peperiksaan SPM, semalam.
Ahmad Rabiul Zulkifli


MARANG: “Alhamdulillah hari ni (semalam) selesai kertas terakhir, saya sudah buat yang terbaik dan berharap memperoleh keputusan cemerlang dalam lima mata pelajaran,” kata Ali, 20, penghuni Penjara Marang.

Dia antara 16 pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Integriti Penjara Marang (SIPM) bermula 5 November dan berakhir semalam.

Ali berkata, dia sudah berusaha sebaik mungkin sebelum menduduki peperiksaan termasuk banyak membuat ulang kaji secara berkumpulan, solat hajat dan berdoa.

“Hari ini (semalam) kertas peperiksaan terakhir sudah selesai iaitu Sains. Saya akan terus berdoa dan selebihnya bertawakal kepada Allah.

“Jika diikutkan, SIPM mengharapkan saya mendapat 7A, tetapi berdasarkan peperiksaan yang sudah dijalani, saya hanya berani menyasarkan 5A. Memang sebelum ini, saya pernah mendapat 4A dalam percubaan untuk subjek Sains, Bahasa Melayu, Tasawwur dan Pendidikan Islam, tetapi untuk SPM kali ini, saya yakin mampu memperoleh A dalam Sejarah,” katanya.

MARANG Hassan (bukan nama sebenar, kanan) bersama rakan Anuar (bukan nama sebenar)  selepas selesai peperiksaan.
MARANG Hassan (bukan nama sebenar, kanan) bersama rakan Anuar (bukan nama sebenar) selepas selesai peperiksaan.

Sementara itu, Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff berkata, seramai 16 pelajar SIPM menduduki SPM tahun ini.

“Ali calon harapan SIPM dan kami menyasarkan Ali memperoleh 7A dalam peperiksaan itu kerana pernah memperoleh 4A dalam peperiksaan percubaan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, Ali ialah Tahanan Limpah Sultan (TLS) kerana kesalahan dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan sejak 2017.

“Ali hanya akan dibebaskan sekiranya mendapat pengampunan untuk dibebaskan. Bagaimanapun, harapan kami supaya kejayaan Ali dalam SPM dapat mengubah nasibnya apabila dibebaskan nanti,” katanya.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan kisah Ali yang bakal menduduki SPM dan disasarkan memperoleh keputusan cemerlang ketika ditemui pada Majlis Restu Ilmu SIPM di Penjara Marang pada 13 Oktober lalu.

KETUA Inspektor Penjara Marang, Ashraff Abdullah (berdiri, kiri) dan guru Sekolah Integriti Penjara Marang, Muhammad Najmi Liew Abdullah (berdiri, kanan) bertanyakan sesuatu kepada banduan Penjara Marang yang mengambil SPM.
KETUA Inspektor Penjara Marang, Ashraff Abdullah (berdiri, kiri) dan guru Sekolah Integriti Penjara Marang, Muhammad Najmi Liew Abdullah (berdiri, kanan) bertanyakan sesuatu kepada banduan Penjara Marang yang mengambil SPM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 5:40 AM