FOTO hiasan
FOTO hiasan
Siti A’isyah Sukaimi


HARGA runcit petrol RON97 naik satu sen seliter iaitu daripada RM2.56 seliter kepada RM2.57 seliter, manakala RON95 dan diesel kekal masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuatkuasa 12 tengah malam ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, harga berkenaan bagi tempoh 9 hingga 15 November berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama masing-masing sepatutnya RM2.27 seliter dan RM2.28 seliter.

“Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.26 seliter, manakala penurunan harga runcit produk diesel berada pada paras RM2.33 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk berkenaan, anggaran subsidi yang perlu ditanggung kerajaan bagi tempoh 9 hingga 15 November 2019 adalah berjumlah RM79.39 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 6:09 PM