SITI mahu tampil konsep berbeza dalam dua persembahan berskala besar
SITI mahu tampil konsep berbeza dalam dua persembahan berskala besar
Sudirman Mohd Tahir

KEPUTUSAN kembali aktif menyanyi selepas bersalin anak sulung, Siti Aafiyah pada 19 Mac tahun lalu disambut gembira peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Lebih setahun berehat, Siti, 40, kembali dengan beberapa projek besar, sekali gus mengubat kerinduan pengikut setianya.

Kejayaan menganjurkan konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di tiga negara membuktikan kehebatannya dan kekal berada di kelas tersendiri.

Terbaru, selepas konsert mini ShopeeXSimplySiti, Siti bakal beraksi dalam konsert khas di Festival Theatre, Adelaide, Australia sempena penganjuran OzAsia Festival pada 18 Oktober.

Sementara konsert penghargaan buat Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah pula berlangsung pada November ini di Istana Budaya.

“Sebenarnya, saya mengambil berat soal jadual dan ini sudah diatur baik oleh pengurusan saya. Kami akan pastikan latihan cukup dan dimulakan dengan mana-mana yang perlu atau sedia awal dan kemudian akan terus dilanjutkan dengan latihan lain.

“Saya juga sudah mulakan persediaan untuk konsert di Adelaide bermula dengan stamina, tarian dan seterusnya muzik. Kami akan ambil masa untuk berehat dan sambung berselang hari kerana ada komitmen lain juga,” katanya.

Meski dua persembahan berskala besar itu diadakan dalam tempoh terdekat, Siti yang kini popular menerusi lagu Kasihku Selamanya berkata, dia tetap akan menampilkan konsep berbeza.

BERSAMA suami tercinta, Datuk Seri Khalid
BERSAMA suami tercinta, Datuk Seri Khalid

“Setiap kali membuat persembahan, konsep akan berbeza. Jika ada sedikit persamaan pada mana-mana segmen, saya memikirkan juga soal penonton yang mungkin tidak datang menonton persembahan sebelumnya.

“Namun biasanya saya menjayakan konsep yang berbeza. Pengarah muzik, Aubrey Suwito mengiringi persembahan di Adelaide manakala untuk di Istana Budaya, saya berlatih dengan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM). Saya akan selesaikan di Adelaide dan kemudian fokus kepada konsert di Istana Budaya pula,” katanya.

Apa yang pasti, kesibukan itu tidak menghalang Siti melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

Bagi Siti, sejak berkahwin keluarga nombor satu dan selepas bersalin, dia perlu memberi fokus kepada semuanya tanpa ada yang kurang.

“Ini yang saya sudah sematkan di hati. Sesibuk mana pun dengan perniagaan atau karier, Aafiyah dan keluarga tetap keutamaan. Pengurusan akan pastikan saya ada waktu untuk keluarga dan menetapkan hujung minggu ada sehari juga dengan keluarga.

“Jika ada tugasan, saya akan ambil sama ada siang atau malam sahaja. Saya juga mohon maaf jika saya tidak dapat memenuhi banyak undangan kecuali komitmen dengan perniagaan serta apa yang sudah dipersetujui awal.

“Sejak ada anak, saya mengubah hampir 100 peratus jadual sedia ada,” katanya.

Siti berkata, keputusan kembali aktif juga adalah atas keizinan cinta hatinya, Datuk Seri Khalid.

“Apa yang saya lakukan sekarang atas izin suami. Nasihat suami saya akan ikut kerana kami sudah mempunyai anak dan masih kecil,” katanya.

Dalam masa sama, Siti tidak boleh menolak persepsi segelintir pihak yang menganggap kehadiran si comel Aafiyah meningkatkan lagi populariti dirinya.

SITI bersama Aafiyah
SITI bersama Aafiyah

“Saya tidak dapat tolak jika itu yang diperkatakan, tetapi di jauh sudut hati saya, Aafiyah ada dunianya sendiri dan saya akan mengawal segala-galanyanya dengan baik.

“Saya hanya mahu Aafiyah hidup macam orang lain dan sekali-sekala ada paparan mengenai dirinya, itu untuk kenangan masa depan.

“Apabila lama saya tak muat naik mengenai Aafiyah di Instagram, ada pengikut yang bertanya dan rindukan gambar atau video Aafiyah,” katanya.

Ditanya perancangan menambah cahaya mata, Siti menyerahkan perkara itu kepada rezeki dan ketentuan Allah SWT.

“Jika Allah berikan rezeki dan apa yang diatur berjalan baik, saya terima. Biar keadaan dan masa menentukan. Semua ini kuasa Allah,” katanya.

Bulat hati

Seperkara yang pastinya Siti tidak mampu mengelak lagi adalah persoalan mengenai status lagu Anta Permana pada peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 34.

Peminat masih berteka-teki sama ada Siti akan menyanyikan lagu itu atau kekal dengan keputusannya untuk berehat daripada menyertai pertandingan berprestij itu.

“Ini soalan yang kerap saya dapat sejak beberapa kebelakangan ini. Saya tahu ada yang berharap. Tapi, tetap ada pro dan kontra juga.

“Berada di tempat saya memang tidak mudah. Mungkin saya terus berehat dari AJL,” katanya.

Mengenai perancangan menghasilkan single atau album pula, khabar gembira buat peminat adalah ada buah tangan terbaru daripada Siti nanti.

“Jika tidak ada aral melintang, pada penghujung Disember atau awal Januari tahun depan album akan keluar, tetapi ada lagu dijadikan single sebelum album berada di pasaran. Sama-sama kita nantikan,” katanya.

Perkembangan lain, Siti menarik perhatian ramai apabila semakin aktif dengan saluran Youtube Siti Official Video.

Lebih membanggakan, saluran itu sudah dilanggan lebih 320,000 sejak mula dibuka pada Januari 2017.

Malah, ada mencadangkan Siti menerbitkan kandungan yang ada dalam saluran itu ke program TV.

“Vlog di Youtube juga saya anggap sebagai arkib dan boleh ditonton apabila sudah tua nanti.

“Saya jadikan simpanan dan tidak terfikir untuk penerbitan di TV. Komitmen sedia ada sudah banyak dan biar dibuat satu persatu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 5:30 AM