BERJAYA mendendangkan 22 lagu dalam tempoh lebih dua jam. FOTO Mahzir Mat Isa
BERJAYA mendendangkan 22 lagu dalam tempoh lebih dua jam. FOTO Mahzir Mat Isa
Sudirman Mohd Tahir


Kejayaan Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza on Tour yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin bukan saja pada tiket yang habis terjual, tetapi aura dan kehebatan Siti di pentas.

Berjaya mendendangkan 22 lagu dalam tempoh lebih dua jam dengan lantunan vokal merdu dan gemersiknya membuktikan gelaran penyanyi nombor satu ini belum tergugat.

Ia sekali gus menjadikan konsert itu sebagai penanda aras baharu dalam kerjaya seninya. Bukan sesuatu yang mudah, tetapi Siti membuktikan pada usia 40 tahun dia masih mampu terbang lebih jauh.

Hakikat yang perlu diterima juga, Siti mengotakan janjinya untuk menampilkan sesuatu berbeza dalam siri konsert kali ini.

Melihatkan sambutan hangat daripada peminat di ketiga-tiga lokasi termasuk di Jakarta dan Singapura membuatkan ibu kepada Siti Aafiyah itu sebak dan hampir menitiskan air mata.

“Sebelum naik ke pentas, saya sudah mahu menangis. Sebabnya, saya tersentuh dengan sambutan diberikan.

“Saya cakap pada pasukan, tidak boleh menangis sekarang sebab nanti tidak boleh menyanyi sampai habis.

SITI mengotakan janjinya untuk menampilkan sesuatu berbeza. FOTO Mahzir Mat Isa
SITI mengotakan janjinya untuk menampilkan sesuatu berbeza. FOTO Mahzir Mat Isa

“Saya terharu dan bangga dibuatnya apabila ada peminat yang datang di semua lokasi. Malah, pada konsert ini pun saya dimaklumkan ada yang datang dari Brunei, Indonesia, Singapura, Korea Selatan dan Jepun. Malah, ada yang baru pulang dari Makkah,” katanya.

Kesungguhan peminat hadir menyaksikan konsert itu menambahkan lagi rasa sayang dan cinta Siti pada peminat yang dipanggil Sitizoners.

“Konsert ini juga saya anggap reunion buat Sitizoners. Mereka adalah anugerah terhebat buat saya sepanjang dalam industri.

“Tidak kira dari mana mereka datang, macam mana mereka datang dan apa saja pengorbanan mereka, saya sangat hargai,” katanya.

Biarpun pada kebanyakan konsert diadakan sebelum ini Siti sudah buat semuanya, konsert itu tetap meninggalkan kenangan lebih indah dalam diri setiap penggemarnya yang hadir.

“Hari ini, saya di sini. Walaupun stadium sudah bertukar nama, saya masih Siti yang sama seperti dulu. Mungkin saiz saja berbeza.

“Rasa aura 20 tahun lalu kembali apabila kali pertama mengadakan konsert di sini pada 1999. Kenangan itu yang paling manis buat saya apatah lagi baru berusia 19 tahun waktu itu.

“Ketika konsert kali pertama dulu, macam-macam saya sudah buat. Antaranya, menjadi ahli silap mata, robot, pemuzik, gimnas dan buat kawad senyap. Pendek kata, semua saya sudah buat,” katanya.

RESTU SUAMI

Menurut Siti, selain kerja keras semua pasukan di bawah Shiraz Projects dan Siti Nurhaliza Productions, tanpa restu suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, dirinya tidak ada di situ untuk memberikan persembahan.

Lagu Jaga Dia Untukku yang dipersembahkan dirasakan cukup dekat dengan dirinya selepas insiden kemalangan motosikal menimpa suaminya pada 2012.

“Berada pada konsert ini sudah cukup bermakna untuk saya. Apatah lagi kehadiran suami yang memberi restu saya membuat persembahan.

“Lagu ini cukup dekat dengan apa yang berlaku pada suami. Ia memberi kesan mendalam buat saya. Empat bulan saya berehat daripada menyanyi sebab menjaga suami yang patah bahu akibat kemalangan itu.

“Saya menjaganya hingga sihat. Hingga berasakan tempoh itu sangat singkat. Jadi, lagu ini sangat dekat dengan insan tersayang dalam diri semua orang,” katanya.

Sudah merakamkan 25 album dengan 250 lagu sudah tentu menyukarkan Siti memilih lagu terbaik untuk dipersembahkan pada konsert itu.

Apa yang pasti, sejak awal hingga lagu terakhir, Siti memukau peminat dan berjaya membuatkan mereka tidak berganjak dari tempat duduk.

Setiap lagu disampaikan dengan penuh penceritaan dan ada memori tersendiri.

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut hadir. FOTO Mahzir Mat Isa
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut hadir. FOTO Mahzir Mat Isa

Siti membuka tirai persembahan dengan menyanyikan rangkaian lagu irama Malaysia popular nyanyiannya sekali gus tribute kepada Allahyarham Datuk Suhaimi Mat Zain atau Pak Ngah.

Antaranya, Badarsila, Joget Berhibur, Joget Kasih Tak Sampai, Nirmala, Balqis, Hati Kama dan Cindai.

Tidak ketinggalan, Siti turut menyanyikan lagu popular lain seperti Jawapan Di Persimpangan, Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Bila Harus Memilih, Cuba Untuk Mengerti, Intrig Cinta, Bisakah, Pastikan, Biarlah Rahsia dan Demi Kasih Sayang.

Kejutan buat penonton yang hadir, Siti memberi peluang kepada peminat untuk membuat dua permintaan lagu.

Peminat memilih Siti menyanyikan lagu Seribu Kemanisan dan Kurniaan Dalam Kesamaran.

Tidak lengkap konsert itu tanpa menyanyikan lagu Siti Situ Sana Sini, Engkau Bagaikan Permata, Indahnya Percintaan, Percayalah, Bukan Cinta Biasa, Aku Cinta Padamu dan Merindu.

Lagu seperti Anta Permana, Jaga Dia Untukku, Destinasi Cinta, Lebih Indah dan lagu penutup, Bersandar Pada Cinta disampaikan dengan penuh penghayatan.

Tidak berkeseorangan, sama seperti konsert di Jakarta dan Singapura lalu, Siti turut menampilkan penyanyi popular Indonesia, Tulus dengan berduet menerusi lagu Seindah Biasa.

Selain itu, dua penyanyi lain turut membuat kemunculan pada persembahan pembukaan iaitu Yura Yunita dan Natasha Sass.

Antara artis yang hadir menyaksikan konsert Siti seperti Dayang Nurfaizah, Khai Bahar, Ernie Zakri, Siti Sarah, Shuib Sepahtu, Hael Husaini, Fara Fauzana, Siti Elizad dan Lan Solo.

PEMINAT memilih Siti menyanyikan lagu Seribu Kemanisan dan Kurniaan Dalam Kesamaran. FOTO Mahzir Mat Isa
PEMINAT memilih Siti menyanyikan lagu Seribu Kemanisan dan Kurniaan Dalam Kesamaran. FOTO Mahzir Mat Isa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 6:00 AM