Amirul Haswendy Ashari

APA diinginkannya pada masa ini adalah pekerjaan tetap untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

Itu antara luahan orang kurang upaya (OKU), Muhammad Helmi Firdaus Abdul Halid, 22, yang disahkan menghidap penyakit Hydrocephalus atau kepala besar sejak lahir.

Kesan penyakit itu, dia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada penggunaan kerusi roda untuk melakukan tugas harian.

Helmi pada masa ini bekerja secara kontrak sebagai penjaga dan pencuci tandas awam di Puchong Perdana di sini, sejak empat tahun lalu.

“Selalunya saya akan keluar dari rumah seawal jam 5 atau 6 pagi dan menolak kerusi roda sejauh empat kilometer ke stesen LRT Bandar Kinrara.

“Dalam perjalanan pergi balik, saya akan kutip tin atau besi buruk yang kemudian akan dijual kepada peraih,” katanya yang memulakan kerja seawal jam 7.30 pagi dan tamat sekitar jam 6 petang.

Andai terlalu penat bekerja, dia akan bermalam di dalam bilik stor bersebelahan tandas awam terbabit.

Namun dalam mencari rezeki, anak kedua daripada dua beradik ini tetap diuji antaranya pernah disamun dan dipukul oleh individu tidak berperikemanusiaan.

ANAK kedua daripada dua beradik ini pernah disamun dan dipukul oleh individu tidak berperikemanusiaan. FOTO Syarafiq Abd Samad
ANAK kedua daripada dua beradik ini pernah disamun dan dipukul oleh individu tidak berperikemanusiaan. FOTO Syarafiq Abd Samad

Menurutnya, perbuatan keji itu dilakukan kerana ada yang menyangka dia mempunyai wang dalam beg yang sering dibawanya sebelum ini.

Katanya, beg yang sering dibawa hanya mengandungi peralatan untuk membaiki kerusi roda selain tiub roda gantian sekiranya tayar kerusi rodanya rosak.

“Dahulu saya selalu keluar lebih awal dalam jam 4 pagi, tetapi selepas pernah kena samun dan pukul, saya tidak lagi berani keluar seawal itu.

“Akibat peristiwa itu, kerusi roda saya rosak teruk sehingga terpaksa mengeluarkan tabungan untuk membeli kerusi yang baru,” katanya.

Helmi akui pendapatan hasil bertugas sebagai pencuci tandas awam, menjual tin dan besi buruk tidaklah lumayan.

Menurutnya, adakala pendapatannya dalam lingkungan RM600 sebulan dan jika ada rezeki lebih memperoleh kira-kira RM850 sebulan.

“Dengan wang itu jugalah saya gunakan bagi membeli barangan keperluan asas untuk keluarga.

“Berapa saja upah yang saya dapat hasil menjaga dan mencuci tandas, saya akan serahkan kepada ibu untuk kegunaan keluarga.

“Walaupun mendapat bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan, ia masih tidak mencukupi.

MUHAMMAD Helmi memulakan tugas pada jam 7.30 pagi mendapat upah RM600 sebulan. FOTO Syarafiq Abd Samad
MUHAMMAD Helmi memulakan tugas pada jam 7.30 pagi mendapat upah RM600 sebulan. FOTO Syarafiq Abd Samad

“Kadangkala saya akan mengikat perut, makan sehari sekali. Kalau ada duit lebih, saya beli nasi bungkus, tetapi kalau poket kosong, hanya meneguk air saja.

“Apatah lagi sejak ibu disahkan menghidap pelbagai komplikasi penyakit seperti jantung dan buah pinggang awal tahun ini dan perlu menjalani rawatan ke hospital setiap bulan, saya kena bekerja lebih keras,” katanya.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik ini, suatu ketika dulu, ibunya, Hasazila Mohamed Hashim, 46, selalu menjalankan aktiviti membuat kuih untuk dijual, tetapi sejak sering jatuh sakit, aktiviti itu terpaksa dihentikan.

Sementara itu, Hasazila akui sebagai ibu, terbit rasa kasihan pada anaknya yang terpaksa menjadi ketua keluarga dalam keadaan fizikalnya tidak sempurna seperti orang lain.

Menurutnya, lebih luluh, anak sulungnya juga seorang OKU kategori lembam dan autism.

Katanya, Helmi sememangnya seorang yang kental dan tidak pernah merungut penat walaupun terpaksa bekerja keras mencari sumber kewangan untuk keluarga.

“Helmi seorang anak yang degil. Kalau dia kata nak cari duit sendiri untuk bantu keluarga, dia akan tetap buat walaupun pernah ditimpa pelbagai ujian sebelum ini.

“Dia tidak mahu mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk makan minum keluarga.

“Selalunya kalau berlaku apa-apa seperti dirompak atau diganggu, dia tidak akan beritahu sebab tidak mahu saya risau,” katanya yang juga ibu tunggal.

MENGERAH kudrat tolak kerusi roda empat kilometer untuk cuci tandas. FOTO Syarafiq Abd Samad
MENGERAH kudrat tolak kerusi roda empat kilometer untuk cuci tandas. FOTO Syarafiq Abd Samad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:45 AM
MUHAMMAD Helmi pencuci tandas awam di Puchong. FOTO Syarafiq Abd Samad
MUHAMMAD Helmi pencuci tandas awam di Puchong. FOTO Syarafiq Abd Samad