Nurul Husna Mahmud


MELIHAT sendiri Tokoh Adiguru Kraf Seramik Tradisional India 2012 dan Tukang Ulung pada 2011 ini beraksi menggunakan kaedah tradisional menghasilkan pelbagai bentuk produk daripada tanah liat antara pengalaman unik buat penulis serta jurufoto.

Ternyata, pemanduan kami sejauh 60 kilometer dari Kuala Lumpur menuju ke bengkel dan kilang produk tanah liat, Ramadas Pottery di Kuala Selangor juga satu perjalanan yang berbaloi.

Tidak dinafikan, bakat dimiliki V N Ramadas, 68, Vengadasalam dalam dunia seni seramik bukan calang-calang.

Ketika menemu bual individu ini, tangannya tidak lekang memusingkan alat berbentuk ‘gasing’ yang mempunyai mata di bahagian tengahnya.

Alat berkenaan diputar di atas batu sungai yang ditanam dalam simen dengan bantuan kayu lain, bagi memulakan kerja membuat pasu dan tabung tanah liat berkenaan.

PENGHASILAN produk tembikar memerlukan ketelitian yang tinggi. FOTO Syarafiq Abd Samad
PENGHASILAN produk tembikar memerlukan ketelitian yang tinggi. FOTO Syarafiq Abd Samad

Menurut Ramadas, alat berkenaan dibawa oleh bapanya sejak 1930-an dari Chennai, India dan ia mempunyai ‘mata tirus dan tajam’ yang diperbuat menggunakan kayu pokok asam.

Katanya, berbanding mesin memusing tanah liat yang moden menggunakan acuan dan berputar secara automatik, alat itu sepenuhnya manual.

Kudrat digunakan bagi memutar alat berkenaan dari semasa ke semasa. Pada masa sama dia perlu membentuk tanah liat menjadi pasu dan pelbagai alat lain.

“Bapa saya ajar cara membuat periuk dari A sampai Z. Bermula dengan pencarian dan memilih tanah sampailah pasu atau periuk tanah berkenaan terhasil.

“Saya masih ingat susahnya dulu apabila kena belajar mencari tanah. Memang kena cangkul tanah sampai jumpa lapisan tiga hingga empat kaki dalam tanah.

Katanya, di sebalik tanah hitam di permukaan terdapat tekstur tanah liat berwarna putih dan lebih bersih kerana terletak jauh ke dalam.

BERSAMA kakitangannya. FOTO Syarafiq Abd Samad
BERSAMA kakitangannya. FOTO Syarafiq Abd Samad

“Petua bapa saya mengenai pemilihan tanah sesuai untuk penghasilan produk tertentu ialah merasa tanah terlebih dulu. Setiap jenis tanah mempunyai ciri berbeza bagi memastikan ia selamat digunakan terutama bagi peralatan memasak.

“Kemudian bancuh dan uli tanah liat sebelum memulakan kerja membentuk. Dulu bapa saya menghasilkan periuk tanah dan jual sendiri ke estet dengan basikal.

“Apabila dewasa, saya ambil alih dan teruskan warisan orang tua, kini perusahaan ini diturunkan kepada anak pula. Namun berbeza daripada zaman saya dulu, kini anak saya, Velavar, tidak perlu lagi merasa tanah. Tiada lagi kerja mencari tanah sebaliknya tanah liat dibeli daripada pembekal selain menggunakan kaedah moden bagi penghasilan optimum produk” katanya.

Kata Ramadas, minat yang mendalam banyak membawa beliau berkelana ke serata Asia dalam mempelajari pembuatan tembikar terbaik.

PELITA daripada tanah liat mendapat permintaan menjelang musim perayaan. FOTO Syarafiq Abd Samad
PELITA daripada tanah liat mendapat permintaan menjelang musim perayaan. FOTO Syarafiq Abd Samad

“Minat saya terhadap seni kraf tembikar ini banyak membawa saya menjelajah ke serata Asia seperti Indonesia, India, Thailand mahupun Vietnam untuk melihat secara dekat hasil kraf mereka.

“Saya menggunakan duit poket sendiri untuk memperkemaskan kemahiran yang ada. Ada juga kenalan membantu memperkenalkan guru selain Kraf Malaysia terutama Kraf Selangor mempromosi bakat saya sehingga pernah diterbangkan ke London untuk membuat demonstrasi kemahiran ke luar,” katanya.

Ramadas turut melahirkan kebimbangan pengusaha tembikar akan berkurangan berikutan tidak ramai belia mahu terbabit dalam industri selain waris penggiat industri tidak mahu meneruskan lagi perniagaan orang tua mereka.

“Dulu ada 50 keluarga yang menghasilkan periuk tanah, sekarang hanya tinggal lima. Maklumlah kerja dengan tanah liat ini kotor dan perlu bekerja keras, tidak ramai anak muda minat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 1:00 PM
RAMADAS bersahaja ketika melakukan demonstrasi bersama alat manual. FOTO Syarafiq Abd Samad
RAMADAS bersahaja ketika melakukan demonstrasi bersama alat manual. FOTO Syarafiq Abd Samad
AMAL petua bapa dalam penghasilan produk seramik. FOTO Syarafiq Abd Samad
AMAL petua bapa dalam penghasilan produk seramik. FOTO Syarafiq Abd Samad