Anggota JPJ Mohd Iskandar Abd Taib (kanan) dan Muhammad Akmal Ibrahim (kiri) melihat Volkswagen Golf GTI 2.0 yang dibida pada harga RM30,100 di Program Lelongan Awam Kenderaan Sita di JPJ Melaka di Bukit Katil hari ini. Foto Khairunisah Lokman

Rizanizam Abdul Hamid

TIDAK sampai lima minit selepas dilelong, sebuah Volkswagen Golf GTI 2.0 berjaya dibida pada harga RM30,100 di Program Lelongan Awam Kenderaan Sita anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di Bukit Katil hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ Melaka Muhammad Nasroul Mohd Sukeri berkata, sehingga 11.15 pagi tadi, kenderaan keluaran pada 2005 itu mencatatkan harga tertinggi lelongan walaupun harga rizab ditetapkan JPJ adalah RM13,000.

“Sebanyak 41 daripada 87 kenderaan berjaya dilelong dalam tempoh satu jam selepas program lelongan awam dimulakan pada 10 pagi,” katanya.

Menurutnya, kenderaan lain yang dilelong dan dibida adalah Honda Odyssey keluaran 2005 dengan RM28,000 (harga rizab RM12,000) dan Honda Civic pada harga RM26,800 berbanding nilai rizab RM9,300.

“Setakat ini, nilai lelongan yang berjaya dicatatkan adalah RM646,000 membabitkan 41 kenderaan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 12:32 PM