KERETA yang remuk teruk dalam kemalangan yang menyebabkan kematian Nur Syafiqah dan suaminya. FOTO Fathil Asri.
KERETA yang remuk teruk dalam kemalangan yang menyebabkan kematian Nur Syafiqah dan suaminya. FOTO Fathil Asri.
Muhamaad Razis Ismail


WANITA mengandung lima bulan meninggal dunia bersama janin dan suaminya selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan kereta Perodua Myvi di Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas dekat Lubok Jong, Pasir Mas, hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi itu, Nur Syafiqah Jaafar, 22, parah di perut, meninggal dunia di lokasi. Turut maut, suaminya, Mohd Ikraam Ab Azit, 22.

Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Abdullah Mohammad Piah berkata, ketika kejadian mangsa dari Pasir Mas menghala Rantau Panjang manakala, Perodua Myvi dipandu Nor Azlan Nasir, 27, dari arah bertentangan.

“Siasatan awal, pemandu kereta dipercayai cuba memotong kenderaan lain tetapi gagal sebelum bertembung dengan motosikal jenis Yamaha Lc yang ditunggang mangsa.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa wanita tercampak tujuh meter dan kandungannya terjejas,” katanya ketika ditemui di HPM.

Abdullah berkata, mangsa lelaki berasal dari Kampung Berangan, Tumpat manakala, mangsa wanita berasal dari Jeli dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kemalangan ini sangat tragis dan menyedihkan. Saya menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan memastikan jarak selamat sebelum memotong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 11:06 AM