Ferzalfie Fauzi


LEGENDA perseorangan wanita negara yang juga isteri kepada Datuk Lee Chong Wei, Datin Wong Mew Choo berharap mereka dapat berbulan madu ke Los Angeles (LA), Amerika Syarikat.

Sebelum itu, Chong Wei mengakui bahawa persaraannya bakal menyambung beberapa hasrat tertangguh sebelum ini termasuk berbulan madu kerana sibuk dengan kejohanan dan latihan selepas melangsungkan perkahwinan 9 November 2012.

“Anda patut tanya beliau (Chong Wei) sendiri di mana beliau akan membawa saya kerana itu hasratnya.

Bagaimanapun, saya masih ingat ketika masih menjadi pemain badminton kami pernah ke Los Angeles untuk saingan Kejohanan Dunia, jadi saya harap dapat pergi ke sana sekali lagi.

Mungkin juga ke Maldives, kami masih belum pasti lagi,” katanya.

Mew Choo mengakui bahawa perasaannya bercampur-baur dan tidak boleh diungkap dengan perkataan selepas suaminya mengumumkan persaraan secara rasmi, hari ini.

“Saya rasa inilah masa untuk membiarkan beliau berehat dan menikmati kehidupannya. Beliau jarang meluangkan masa bersama keluarga.

“Sekarang saya gembira Chong Wei mempunyai banyak masa untuk keluarga dan anak.

“Sekali saja dalam kehidupan kita untuk melihat anak membesar. Selepas beliau berhasrat kembali aktif (selepas rawatan kanser hidung) dan menyambung latihan ia bukan saja merisaukan saya malah orang lain juga turut merasai perasaan sama.

Mew Choo (kiri) berharap Chong Wei akan membawanya berbulan madu ke Amerika Syarikat. FOTO REUTERS
Mew Choo (kiri) berharap Chong Wei akan membawanya berbulan madu ke Amerika Syarikat. FOTO REUTERS

“Jurulatih, keluarga dan doktor pun risau namun anda sendiri tahu atlet mempunyai semangat tidak boleh berkata ‘tidak’.

Sekurang-kurangnya beliau sudah mencuba dan doktor memberitahu situasinya adalah perlu mengurangkan tekanan,” kata Mew Choo.

Ditanya adakah pengganti Chong Wei terletak di bahu kedua-dua anak lelakinya, Kingston dan Terrance, Mew Choo mengakui bahawa tiada paksaan buat dua anak mereka bergiat aktif dalam badminton.

“Kami tidak paksa, kalau mereka minat kita beri galakkan. Kalau tidak minat kita tidak paksa, sebelum ini anda dapat lihat mereka bermain badminton adalah kerana mereka aktif sekarang. Saya tidak akan memaksa mereka,” kata Mew Choo.

Selepas menjalin percintaan dengan bekas pemain perseorangan wanita itu ketika dalam skuad negara Chong Wei pernah membuat kenyataan pada 2009 mereka sudah berpisah.

Bagaimanapun, selepas meraih pingat perak Sukan Olimpik London 2012 Chong Wei membuat kenyataan bahawa beliau kembali menjalin percintaan dengan Mew Choo.

Selepas berkahwin pada tahun yang sama, kedua-dua mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Kingston (April 2013) dan Terrance (Julai 2015).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 7:30 PM