CHONG Wei (dua kiri) meraikan ulang tahun kelahiran Mew Choo (dua kanan) bersama kedua-dua anak mereka. FOTO FB Lee Chong Wei
CHONG Wei (dua kiri) meraikan ulang tahun kelahiran Mew Choo (dua kanan) bersama kedua-dua anak mereka. FOTO FB Lee Chong Wei
Syazwan Msar


JIKA bukan kerana terpesona dengan tarikan isteri Datin Wong Mew Choo, sudah pasti bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei agak sukar untuk membina nama hingga ke persada antarabangsa.

Itu antara kisah percintaan dua bekas bintang badminton negara, Chong Wei dan Mew Choo apabila mereka kali pertama bertemu ketika berusia 15 tahun pada kejohanan badminton di ibu negara.

Menceritakan detik awal pertemuannya menerusi Facebook, Chong Wei berkata, ketika menyertai kejohanan terbabit, dalam hatinya ingin mencipta kemenangan menerusi strategi yang dirancang.

"Namun, semua persiapan mental terus masuk longkang ketika melihat budak perempuan berusia 14 tahun mewakili Selangor. Cara dia jalan masuk gelanggang, panaskan badan cukup bergaya dan cantik lemah terus lutut itu 'budak Penang'.

"Nak minta nombor telefon tapi budak perempuan itu sentiasa dijaga oleh kakak dan keluarganya," katanya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berasakan hanya dengan kemenangan di gelanggang dapat memenangi hati Mew Choo.

Cerita Chong Wei lagi, setiap pukulan dan 'smash' dilakukan dengan penuh bergaya hanya untuk menarik perhatian Mew Choo ketika itu.

"Setiap kali dapat memungut mata pasti mata saya curi-curi melihat sekeliling dan berharap budak perempuan itu melihatnya.

"Budak mentah yang dimaksudkan itu adalah saya dan bidadari di gelanggang sudah tentu isteri saya iaitu Mew Choo.

"Selamat ulang tahun kelahiran buat isteri dan bersyukur dapat berkenalan dengannya," katanya.

Pemenang pingat perak Olimpik 2008, 2012 dan 2016 itu mendirikan rumah tangga bersama ratu badminton negara itu pada 2012 serta dikurniakan dua cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 5:58 PM