NAZIM akui tak tentu arah selepas bercerai kerana bimbang tanggapan negatif keluarga. FOTO: Aziah Azmee
NAZIM akui tak tentu arah selepas bercerai kerana bimbang tanggapan negatif keluarga. FOTO: Aziah Azmee
Sudirman Mohd Tahir


DARI zaman bujang, berkahwin dan kini bergelar duda, pelakon Nazim Othman mengakui sambutan Aidilfitri diraikan secara sederhana.

Malah, Nazim, 35, atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman tidak malu memakai baju lama atau istilahnya pakai ulang tayang.

Bagi Nazim, dia bukan jenis suka membazir kerana selagi masih boleh digunakan dia akan pakai dan manfaatkan sebaiknya.

“Orang selalu ingat saya gemar bermewah walhal sebenarnya tidak. Saya pakai apa yang ada sahaja. Nak beli pun tak perlu keterlaluan. Baju lama yang masih elok untuk dipakai, saya pakai. Kenapa nak membazir?

“Insya-Allah, tahun ini saya akan peruntukkan selama seminggu untuk beraya di Johor Bahru. Kemudian saya akan bercuti ke luar negara sama ada di Prague atau Maghribi pada raya keenam atau ketujuh,” katanya.

Nazim yang tahun kedua menyambut lebaran sebagai duda selepas bercerai dengan pelakon, Bella Dally pada 2 Mei tahun lalu berkata, ia bukan bebanan untuknya.

Sebaliknya, Nazim tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana menyifatkan Aidilfitri adalah hari kemenangan untuk semua insan bergembira di samping keluarga tercinta.

“Diakui selepas bercerai, saya menjadi tak tentu arah. Banyak perkara bermain di fikiran termasuk risau dan segan memikirkan apa orang cakap jika balik beraya di kampung. Namun, keluarga mahupun sanak saudara langsung tak bertanya.

“Mungkin sebab terlalu memikirkannya secara mendalam, saya berubah menjadi terlalu sensitif. Hinggakan balik beraya sehari sahaja.

NAZIM beraya seminggu di Johor Bahru.
NAZIM beraya seminggu di Johor Bahru.

“Akhirnya, saya sedar mencari ketenangan dan keredaan itu bukan kepada manusia, tapi dengan memohon doa kepada Allah. Tuhan hanya tarik satu sahaja nikmat hidup ini iaitu jodoh. Hakikatnya, ada nikmat lain yang masih perlu saya hargai. Saya masih ada keluarga dan diberikan kesihatan yang baik,” katanya.

Ditanya mengenai pengganti, Nazim mengakui tidak terlalu memikirkan perkara itu.

“Ramai bertanya adakah saya mahu berkeluarga baru. Sudah semestinya nak. Saya pernah bina kehidupan bersama seseorang sebelum ini. Cuma, jodoh itu tidak panjang.

“Saya juga mahu ada keluarga sendiri dan memiliki cahaya mata. Saya nak besarkan keluarga sendiri.

“Apatah lagi saya jenis sukakan budak. Malah dalam setiap sujud, saya tak pernah lupa berdoa semoga didatangkan seorang wanita baik yang boleh menjaga diri ini. Namun sebanyak mana pun doa kita, jika Allah sudah katakan belum tiba masanya, maka tak akan jumpa.

“Bukan semua perancangan kita akan berjaya. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Insya-Allah kita bertenang sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 5:30 AM