NAZIM belum sedia terima pengganti.
NAZIM belum sedia terima pengganti.
Ardini Sophia Sina

SEIRING peningkatan usia, aktor kacak, Nazim Othman kini semakin terbuka untuk berbicara dan menjawab apa jua pertanyaan yang diajukan kepadanya walaupun berbaur peribadi. Kata pelakon itu, dia semakin matang dalam mengawal emosi dan lebih bijak memberikan komen tanpa menyentuh perkara sensitif namun tetap menjawab soalan yang diajukan.

Kembali menjalani kehidupan solo sejak 2018, Nazim yang digelar sebagai duda ‘hot’ oleh segelintir individu tidak ambil kisah dengan perkara itu. Dia hanya fokus kepada urusan kerja.

“Saya jalani kehidupan macam biasa. Keluarga dan rakan pula sering menasihati saya agar tidak terlalu memikirkan perkara lalu.

“Mereka terlebih risau sedangkan saya baik-baik saja. Saya sudah teruskan hidup dan tinggalkan kisah lalu. Tidak ada pun termenung seorang diri atau bawa diri.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana itu adalah tanda mereka kisah dan ambil berat mengenai saya. Mereka bimbang kalau saya memendam rasa sedangkan saya okey,” katanya.

Masih belum menemui pengganti untuk menjadi suri hatinya, Nazim bagaimanapun tidak pernah melupakan keinginan berkeluarga satu hari nanti.

Namun, pemilik nama sebenar Nushrul Alif Othman ini menegaskan buat masa ini hatinya belum terbuka untuk menerima kehadiran insan baharu sebagai teman hidup.

Walaupun sebelum ini pernah digosipkan dengan pelakon Fatin Afifah, jelas Nazim, mereka hanya sekadar rakan dan dia selesa bekerja dengan wanita yang juga ibu kepada dua orang anak itu.

“Saya selesa bekerja dengan dia. Tidak ada yang lebih pun dalam hubungan kami. Dia hanya rakan, tidak ada yang istimewa seperti spekulasi orang ramai.

“Saya juga belum ada pengganti. Semuanya bergantung pada jodoh, kalau ada, adalah. Kalau sampai ke akhir saya masih solo, mungkin itu yang Allah lihat terbaik untuk saya.

“Namun, selagi sihat dan ada kudrat untuk bekerja, saya tidak pernah padam impian untuk mempunyai isteri dan anak,” katanya.

NAZIM kongsi gambar percutian dalam laman Instagramnya.
NAZIM kongsi gambar percutian dalam laman Instagramnya.

SUKA MELANCONG SEJAK REMAJA

Andai tidak bekerja, pelakon drama Monalisa itu akan melancong ke luar negara bagi menikmati keindahan serta keunikan destinasi yang dikunjunginya. Sejak usianya 19 tahun, sudah banyak negara dijelajahi. Nazim turut menyimpan impian untuk melancong ke Maghribi atau Santorini pada masa akan datang.

“Saya memang suka melancong. Baru-baru ini saya ke Hong Kong untuk menjalani penggambaran. Sambil menyelam, minum air. Selain bekerja, saya juga sempat melawat tempat menarik.

“Kemudian saya melancong ke Turki selama 10 hari. Kalau melancong, saya memang suka melihat seni bina, budaya, makanan dan sejarah di tempat berkenaan. Itu definisi melancong bagi saya.

“Saya pelik, ada sesetengah orang yang suka melancong tetapi apabila tiba di tempat itu mereka sibuk dengan telefon bimbit atau lebih banyak luangkan masa di bilik,” katanya.

Sering melancong seorang diri membuatkan ada yang beranggapan Nazim antisosial. Jelas Nazim, dia selesa menikmati percutian tanpa sebarang gangguan dan selesa bergerak sendiri tanpa perlu terikat dengan sesiapa. Ini kerana melancong adalah terapi mindanya dan kerana itu dia mahu menikmati detik itu dengan sebaik-baiknya.

Kata Nazim lagi, ketika berada di luar negara dia berkomunikasi dengan masyarakat tempatan untuk bertukar maklumat dan minta bantuan untuk ke tempat tertentu.

Walaupun kerap ke luar negara, Nazim tidak terfikir untuk mengabadikan kenangan percutiannya dalam buku. Katanya, ramai rakyat Malaysia kurang gemar membaca.

“Kalau kita lihat gaya hidup rakyat Malaysia, tidak ramai yang suka membaca. Kalau baca pun hanyalah naskhah ringan atau santai.

“Jadi, lebih baik saya abadikan sebahagian kenangan bercuti di Instagram (IG) saja. Itu pun sudah memadai dan pengikut IG boleh melihat tempat indah yang saya kunjungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 6:30 AM