Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Apa untungnya saya tipu. Dah kereta beli, takkan nak kata sewa pula."

Itu kata pelakon dan usahawan terkenal, Aeril Zafrel, 34, berhubung dakwaan netizen kereta Lamborghini Aventador miliknya itu adalah disewa.

Aeril berkata, bukan saja komen, tapi dia turut mendapat kiriman mesej di Instagram (DM) yang mendesaknya untuk mengaku itu adalah kereta sewa.

"Apabila saya cakap kereta ini tak nak pakai lama dan nak jual, orang cakap saya pakai kereta sewa. Malah ada beriya-iya DM suruh saya mengaku ia kereta sewa. Untuk apa?

"Saya biarkan saja apa orang nak cakap. Kadang-kadang lucu juga dengan kerenah netizen yang semua perkara nak kena ikut cakap mereka dan seolah-olah mereka saja betul.

"Ada juga yang pertikai kenapa saya beli kereta mahal, kenapa tak beli rumah saja. Tak tahu nak cakap apa lagi. Apa pun, ini semua rezeki Allah dan bersyukur dengan setiap nikmat pemberian-Nya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aeril, dia 'enjoy' menggunakan kereta itu walaupun pada awalnya perlu menyesuaikan diri yang dianggap berbeza dengan kereta lain.

"Kereta ini dah hampir sebulan. Cuma, seminggu awal saja nak sesuaikan diri sebab ia tak sama seperti kereta biasa. Cara tekan minyak pun tak boleh sembarangan.

"Alhamdulillah, setakat hari ini pandu kereta ini semuanya okay. Saya dah bawa sampai ke Johor masa pergi beraya hari tu. Sekarang ini dah puas naik, kita hiburkan pula kawan-kawan. Kalau nak jual pun, mungkin dua tahun lebih lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 2:27 PM