ALYAH. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
ALYAH. FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir

GENAP 19 tahun pembabitan dalam bidang seni, banyak pengorbanan dibuat Datin Alyah. Paling ketara masa bersama keluarga terutama ibu tercinta di Gelang Patah, Johor.

Demi mengejar cita-cita dan cintanya terhadap muzik, Alyah terpaksa akur keluarga jatuh nombor dua. Begitu juga selepas berkahwin dengan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS.

Mengimbas kembara seni penyanyi bersuara lunak itu, kerjaya mula mendapat perhatian ketika muncul dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang pada 2009.

Sejak itu, Alyah mengakui masa bersama keluarga boleh dikira dengan jari dalam setahun termasuk ketika Ramadan dan Aidilfitri berikutan jadual kerja yang padat.

Berbeza tahun ini, Alyah yang polular menerusi lagu Kisah Hati bersyukur apabila dapat merasai semula detik yang ditinggalkan selama ini.

Paling membahagiakan Alyah apabila dapat meluangkan lebih banyak masa bersama ibu tersayang di kampung halaman sepanjang Ramadan kali ini. “Ramadan kali ini saya tak ambil tawaran persembahan. Saya memang tak mahu banyak aktiviti. Tahun lalu, saya tak ada masa langsung dengan suami kerana berniaga.

ALYAH tidak nafi terbit rasa bersalah terhadap ibu apabila tak pulang beraya.
ALYAH tidak nafi terbit rasa bersalah terhadap ibu apabila tak pulang beraya.

“Tahun ini saya hanya terbabit dengan aktiviti jualan di Singapura dan PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra), Kuala Lumpur saja. Jadi, saya ada masa untuk pulang ke kampung. Kiranya, Ramadan ini saya dapat luangkan masa berkualiti dengan suami dan keluarga. Saya sangat bersyukur.

“Sepanjang 10 tahun lalu, hari biasa pun tak ada masa, baik sebelum atau selepas kahwin. Apatah lagi pada Ramadan,” katanya.

Menurut Alyah, kesempatan yang ada dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi menebus semula aktiviti yang ditinggalkan hanya kerana sebuah impian.

“Dulu, pulang ke kampung sehari untuk berbuka saja. Kali ini, berhari-hari. Saya dapat solat Tarawih, kemas rumah, memasak, sahur, buat kuih dan macam-macam lagi. Ini tahun yang paling saya tunggu-tunggu.

“Malah, saya juga pernah tak balik raya sebab kerja. Kadangkala rasa bersalah juga dengan mak. Jadi, tahun ini ibaratnya tahun saya tebus balik semua detik penting yang hilang sepanjang 10 tahun.

“Saya rindu banyak perkara. Antaranya menghadiri kenduri, majlis tahlil dan banyak lagi.

“Macam orang kata, kita tak tahu lagi boleh jumpa Ramadan akan datang atau tak. Sebab itulah saya kena hargai Ramadan kali ini,” katanya.

PULANG BERAYA 1 JUN

Sesuatu yang menggembirakan buat Alyah apabila mengambil keputusan pulang beraya lebih awal. Dengan itu dia boleh membuat semua persiapan menyambut Aidilfitri di kampung tanpa perlu memberi arahan dari Kuala Lumpur seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Dari dulu sampai sekarang tugas saya memang suka cantikkan rumah. Sibuk macam mana pun, saya akan minta tolong anak saudara beli barang, contohnya nak tukar langsir.

“Tahun ini saya akan balik awal iaitu 1 Jun. Jadi, saya akan siapkan semuanya untuk mak. Beruntungnya, rumah mentua di Singapura. Jadi, dekat saja. Kalau keluarga suami nak beraya di KL, saya akan balik ke KL. Paling penting, semua sudah siap di kampung terlebih dulu.

“Raya kali ini juga saya merancang mahu melawat saudara-mara di Mersing dan Kluang. Walaupun ada antaranya sudah meninggal dunia, anak mereka masih ada,” katanya.

Mengenai sambutan lebaran keluarga suaminya pula, Alyah berkata dia memperuntukkan sehari dua sahaja.

ALYAH manfaat waktu berkualiti.
ALYAH manfaat waktu berkualiti.

“Sejak berkahwin, saya dan suami pulang sehari dua sahaja. Paling lama tiga hari. Saya asal orang kampung, jadi bila beraya di Singapura rasa dan suasana lain.

“Kalau di kampung meriah sebab ramai keluarga. Kalau bagi pilihan, kampung tetap yang terbaik kalau nak beraya. Namun, saya kena adil. Keluarga mentua juga perlu diutamakan,” katanya.

Berkongsi perkembangan kerjayanya, Alyah yang baru melancarkan single Meluruh dalam perancangan mengadakan mini persembahan sempena 20 tahun dalam industri tahun depan.

“Saya di bawah pengurusan Warner Music. Dari semasa ke semasa, kami berbincang macam mana nak promosi lagu.

“Insya-Allah tahun depan genaplah dua dekad saya dalam industri. Saya berharap ada sesuatu untuk peminat. Paling penting ada sokongan dan penaja. Jadi, doakan saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 7:00 AM