KETUA Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (kanan) melawat lokasi kemalangan mengorbankan Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, 27, dan menyebabkan rakan sepasukan parah, Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, yang meninggal dunia dirempuh motosikal ketika bertugas di Jalan Persisiran Perling Arah Iskandar Puteri. FOTO Ihsan PDRM
KETUA Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (kanan) melawat lokasi kemalangan mengorbankan Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, 27, dan menyebabkan rakan sepasukan parah, Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, yang meninggal dunia dirempuh motosikal ketika bertugas di Jalan Persisiran Perling Arah Iskandar Puteri. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Sabran Md Sani


LANS Koperal maut, manakala rakan setugasnya parah akibat dirempuh motosikal ketika melakukan pemeriksaan terhadap van di bahu jalan di Jalan Persisiran Perling arah Iskandar Puteri, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, 27, dari Blok Melati 9, Tampoi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya,

Muhammad Syakir Safwam Khairudin, 29, parah.

Kejadian itu turut mengakibatkan penunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC, Thevarajan, 36, parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pejabat pertanyaan trafik bertugas memaklumkan kemalangan maut membabitkan anggota polis.

“Ia membabitkan kemalangan dua kenderaan iaitu sebuah Kereta Peronda Polis (MPV) dan motosikal jenis Yamaha 135LC.

“Pemandu MPV disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kru serta penunggang motosikal parah,” katanya.

Katanya, siasatan awal dijalankan di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika dua anggota Peronda Polis sedang melakukan pemeriksaan pada sebuah van di bahu jalan sebelah kiri.

“Secara tiba-tiba, motosikal yang datang dari arah Perling menuju ke Plaza Tol Perling terlanggar (M1) kedua-dua anggota terbabit,” katanya.

Akibat dari perlanggaran itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua yang parah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, kenderaan terbabit dibawa pulang ke Balai Trafik JBU dan akan dibawa ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, proses bedah siasat dijalankan di Bilik Forensik Hospital Sultanah Aminah pada tengah hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd menerusi laman sosial Facebook (FB) Polis Johor dilaporkan melawat tempat kejadian yang mengorbankan anggotanya ketika menjalankan tugas.

Hadir sama Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad bagi meninjau lokasi yang turut mencederakan seorang anggotanya.

Semua anggota dan pegawai awam kemudian diminta bersama-sama untuk urusan solat jenazah di Surau Taman Molek di sini, selepas bedah siasat selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 1:16 PM