SISSY lihat semula kekurangan dalam kehidupan sepanjang Ramadan. FOTO: Aziah Azmee
SISSY lihat semula kekurangan dalam kehidupan sepanjang Ramadan. FOTO: Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


PENGHULU segala bulan yang paling dinanti umat Islam menjelma lagi. Sepanjang Ramadan ramai akan berlumba-lumba melakukan ibadat dan segala amalan mulia untuk mendapat ganjaran pahala yang tidak terhitung.

Bagi penyanyi Sissy Iman, kehadiran bulan Ramadan seumpama ‘lubuk emas’ buat dirinya, bukan untuk mencari rezeki dunia semata-mata tetapi juga mendekatkan diri kepada Tuhan.

“Bagi saya, Ramadan itu umpama ‘lubuk emas’ untuk umat Islam. Bukan saja mendekatkan diri dengan Allah SWT tetapi bulan ini juga kita kena ambil peluang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Selalunya, saya akan berbuka dengan keluarga dan ada kalanya kami berbuka dengan saudara-mara,” katanya.

Tidak hanya itu, Sissy juga akan lebih banyak muhasabah diri dan berusaha memperbaiki segala kekurangan yang ada.

“Jika mahu muhasabah diri tak perlu tunggu Ramadan. Namun, pada bulan inilah saya akan lebih banyak muhasabah dan ‘cari’ diri saya.

“Saya akan lihat semula apa kekurangan yang ada dalam kehidupan saya sebagai manusia, seterusnya mencari solusi untuk memperbaikinya,” katanya.

Ditanya mengenai kenangan menjelang Ramadan, Sissy berkongsi kisah mencuit hati yang tidak pernah hilang daripada ingatannya.

“Pada tahun pertama saya belajar dan tahu sikit-sikit untuk buat ketupat, saya dengan yakin membuat ketupat sendiri untuk kami sekeluarga makan pada Aidilfitri.

“Namun, kerana tersalah sukat jumlah beras, ketupat yang saya masak jadi keras. Akhirnya, Aidilfitri tahun itu, kami makan nasi impit segera saja yang dijual dalam plastik,” katanya.

Tidak hanya kenangan manis dan mencuit hati, Ramadan tahun ini juga banyak perbezaan berbanding sebelum ini kerana ada kisah duka menghimpit hatinya dan keluarga.

“Ini tahun pertama kami sekeluarga menyambut Ramadan tanpa nenek. Kalau nak tahu, nenek insan paling paling rapat dengan saya. Pada Disember tahun lalu, nenek kembali ke rahmatullah dan kehilangannya itu sangat dirasai kami sekeluarga.

“Lebih sedih lagi, ketika nenek meninggal, saya berada di Langkawi untuk menjalani penggambaran telefilem dan tak dapat melihatnya buat kali terakhir,” katanya.

Sissy tidak ketinggalan menitipkan doa buat nenek tersayang dan mendoakan keluarganya agar sihat sepanjang Ramadan ini.

“Sempena Ramadan tahun ini, saya menitipkan doa yang teristimewa buat arwah nenek dan semoga nenek diberikan kesejahteraan di sana.

“Selain itu, saya juga doakan agar saya dan keluarga diberikan kesihatan yang baik, sekali gus dapat melakukan ibadah puasa dengan lancar,” katanya.

SISSY turut terlibat dalam telefilem Geng Big Stage Beraya.
SISSY turut terlibat dalam telefilem Geng Big Stage Beraya.

GALAK TULIS LAGU

Mengulas aktiviti seninya sepanjang Ramadan, Sissy berkata dia akan banyak meluangkan masa untuk menulis lagu.

“Alhamdulillah, tahun ini saya dapat peluang menghasilkan lagu untuk beberapa penyanyi. Insya-Allah, sepanjang Ramadan ini saya akan tulis lagi memandangkan sudah ada beberapa artis yang menunggu.

“Selain itu, ada juga beberapa tawaran persembahan ditawarkan namun masih dalam perbincangan.” katanya.

Sissy juga bersyukur kerana beberapa program Aidilfitri sudah siapkan dirakamkan sebelum Ramadan.

“Alhamdulillah, semuanya sudah dirakam. Antaranya telefilem Geng Big Stage Beraya. Jadi, Ramadan ini tidaklah terlalu sibuk.

“Selain itu, ada juga beberapa program lain antaranya Jom Jam Akustik Raya dan banyak lagi,” katanya. Katanya lagi, Ramadan adalah masa terbaik untuk kita semua melebihkan ibadat berbanding hal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 6:00 AM