ANGGOTA polis melakukan siasatan di rumah mangsa.
ANGGOTA polis melakukan siasatan di rumah mangsa.
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati di sebuah rumah di Lengkok Merbah.
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati di sebuah rumah di Lengkok Merbah.
Hadzlihady Hassan


PANGGILAN telefon itu ternyata meninggalkan trauma buat seorang wanita apabila mendengar sendiri tembakan dilepaskan bekas teman lelakinya yang memberitahu mahu membunuh diri ketika berada di rumah di Lengkok Merbah 1, Pulau Jerejak di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, wanita terbabit yang tinggal di Australia dihubungi bekas teman lelakinya yang memberitahu perutnya sakit selain turut menghantar gambar pistol yang diacu di dada dalam kiriman WhatsAppnya sebelum itu.

Menurut sumber, wanita itu yang bimbang selepas mendengar satu letupan ketika bercakap dengan bekas teman lelaki yang berusia 38 tahun terus menghubungi kakak mangsa sebelum ahli keluarga pergi ke rumah terbabit.

“Ahli keluarga lelaki berkenaan bersama tukang kunci pergi ke rumah itu dan memotong mangga sebelum mereka yang berasa curiga menghubungi polis.

“Mereka menemui mayat lelaki terbabit berlumuran darah di lantai dalam bilik utama tingkat atas rumah itu manakala pistol revolver .38 pula ditemui di atas katil,” katanya.

Sumber berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia dengan kesan tembakan di dada kiri yang menembusi belakang badannya.

“Hasil siasatan terhadap wanita itu, dia mendakwa mereka berdua sudah tidak mempunyai sebarang hubungan selepas berpisah sejak hampir setahun lalu.

“Wanita berkenaan mendakwa mereka kali terakhir bertemu pada Jun 2018 dan selepas itu langsung tidak berhubung antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit tinggal bersendirian di rumah itu yang disewanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A Anbalagan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pemeriksan mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod kesalahan dadah.

“Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kami juga sedang melakukan siasatan bagaimana dia mendapat senjata api terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 5:30 AM