Mohammad Awal Harith kerap melihat gambar bersama, arwah adiknya, Nor Hariqah Maisara bagi melepaskan kerinduan. FOTO Ahmad Ismail
Mohammad Awal Harith kerap melihat gambar bersama, arwah adiknya, Nor Hariqah Maisara bagi melepaskan kerinduan. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


“ABANG nak ikut adik balik rumah (merujuk kubur).” Demikian perasaan hiba dikongsikan Mohammad Awal Harith Mohammad Rashid, 5, kepada ibunya, Siti Nurul Faiz, 33.

Kanak-kanak lelaki itu masih tidak dapat menerima kenyataan kehilangan adik perempuannya, Nor Hariqah Maisara, 3, yang maut digilis Honda CRV, pada 24 Mac lalu.

Kejadian jam 5.30 petang itu, mengundang sedih keluarga kanak-kanak itu selepas mangsa ditemui berlumuran darah di mulut dan hidung di bawah kenderaan dipandu warga emas berusia 60 tahun.

Berkongsi kisah sedih itu, Siti Nurul berkata, kejadian berlaku di hadapan sebuah rumah inap desa di Paya Pulai di Segamat.

Katanya, dia bersama suami, Mohammad Rashid Mohamed Aris, 33, menyewa rumah itu bagi menghadiri majlis perkahwinan anak saudara mereka.

“Ketika kejadian, suami sedang menyusun pelbagai barangan dalam kenderaan di halaman rumah tumpangan kami itu, sementara arwah anak perempuan kami turut berada tidak jauh dari suami.

“Tiba-tiba, suami terdengar bunyi dentuman yang kuat serta melihat tubuh arwah anak digilis di bawah sebuah kereta,” katanya ditemui di kediamannya di Felda Kemelah di Segamat.

Beliau berkata, mereka segera menghantar kanak-kanak itu ke Hospital Segamat, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Katanya, dia dan suami sangat sedih apabila anak sulung mereka seperti tidak dapat menerima hakikat kehilangan adik perempuannya itu.

“Dia (anak) kerap meluahkan perasaan mahu mengikut adiknya pulang ke rumah (kubur), sedangkan dia tahu adiknya itu sudah tiada.

“Perasaan itu diluahkan sehari selepas kejadian berlaku dan kerap mengatakan tidak mahu pulang ke rumah kami di FELDA Kemelah,” katanya.

Katanya, perasaan sayang itu menyebabkan anaknya yang bersekolah tadika sering sedekahkan al-Fatihah kepada adik perempuannya.

“Anak sulung saya juga kini mengelak menghisap susu dalam botol kerana masih terbayang arwah adiknya yang selalu menghantar susu siap kepadanya,” katanya.

Neneknya, Rosiah Hanim, 56 berkata, beberapa hari sebelum kejadian, mata kirinya kerap mengenyit.

“Kebetulan beberapa hari sebelum kejadian, kami membelikan baju gaun berwarna putih buat arwah selain teringat keletah cucunya itu yang kerap menjadi pembela dengan berdiri di hadapan abangnya jika dimarahi,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sebarang maklumat atau saksi kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9251222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 5:08 PM