GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Ismail.


Segamat: Polis menahan lapan lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit kes rogol seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua dalam beberapa tangkapan berasingan sekitar Segamat, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat oleh ibu mangsa pada 24 September, lalu.

Menurutnya, polis menerima laporan dibuat seorang wanita mendakwa anak perempuannya berusia 14 tahun dirogol oleh lapan lelaki yang dikenali.

"Siasatan awal mendapati, pada 17 September lalu di antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 5 pagi mangsa dibawa oleh rakan perempuan pergi ke sebuah rumah di sekitar Kemelah sebelum mangsa dirogol oleh lapan lelaki.

"Bertindak daripada maklumat itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat berjaya membuat tangkapan pada 25 September di sekitar Segamat dan Felda Kemelah terhadap lapan suspek termasuk wanita itu, " katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Zamry berkata, mangsa dibawa menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Daerah Segamat (HDS).

"Suspek sebahagiannya pelajar berusia 14 sehingga 26 tahun direman tujuh hari bermula 26 September sehingga 2 Oktober bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 9:52 PM