MOHD Dylan (kiri) meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama rakan mualaf yang lain. FOTO Fathil Asri
MOHD Dylan (kiri) meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama rakan mualaf yang lain. FOTO Fathil Asri
Siti Rohana Idris

SAMBUTAN Tahun Baharu Cina tahun ini cukup memilukan bagi Mohd Dylan Yap Abdullah apabila pertama kali meraikannya tanpa keluarga di sisi.

Bagaimanapun, pemuda mualaf yang berusia 24 tahun itu yang baru sembilan bulan memeluk Islam dan kini sedang belajar di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa, yakin ujian itu dapat menguatkan hatinya demi untuk mendalami Islam.

Dia yang berasal dari Sepang, Selangor, mengakui hasratnya untuk memeluk Islam mendapat tentangan hebat dari keluarga, terutama ibunya malah sehingga kini mereka belum mengetahui Mohd Dylan benar-benar sudah menjadi mualaf.

“Ketika mula-mula memberitahu keluarga dahulu, mereka sangat menentang terutama ibu dan sehingga ke hari ini tentangan itu tidak pernah surut.

“Memang saya akui sangat sedih dengan situasi begini, tapi suatu hari nanti selepas tamat pengajian di sini, saya akan pulang ke rumah dan bertemu keluarga sambil memberitahu segala yang baik mengenai Islam,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, baru-baru ini.

Walaupun sudah bergelar Muslim, Mohd Dylan menegaskan dia tetap seorang yang berketurunan Cina dan akan menyambut Tahun Baharu Cina ini dengan cara berbeza, terutama dari segi pemakanan.

Mohd Dylan adalah antara 30 mualaf dari IDIP dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Kelantan yang diraikan pihak Hotel The Grand Renai sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pengarah Jualan Hotel The Grand Renai, Melissa Zainuddin berkata, sambutan itu adalah bagi menghimpunkan saudara baharu untuk sama-sama meraikan perayaan agama asal dalam kalangan mualaf itu.

“Kami amat berbesar hati untuk menyajikan makanan Cina berstatus halal yang disediakan pihak pengurusan bagi memberi peluang kepada saudara baharu merasa seolah-olah berada dalam kelompok keluarga sendiri.

“Perbezaan agama tidak seharusnya menjadi satu halangan untuk kita terus mengeratkan hubungan kekeluargaan dan itu yang kami cuba tonjolkan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Macma, Dr Johari Yap berkata, bukan sahaja saudara baharu dalam kalangan kaum Cina sahaja yang diraikan tapi juga bangsa lain, termasuk Iban.

“Walaupun beragama Islam tapi kita datang dari latar belakang yang berbeza dan kebudayaan itu yang ingin ditonjolkan kerana masing-masing ada kelainan.

“Kita inginkan perpaduan dan hubungan dalam keluarga tidak putus walaupun ada di kalangan ahli keluarga memeluk Islam kerana agama sahaja yang bertukar, bukan latar belakang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 1:07 PM