MOHANRAJ (kanan). FOTO Eizairi Shamsudin
MOHANRAJ (kanan). FOTO Eizairi Shamsudin
Murni Wan Omar


PEMANDU teksi dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini, atas kesalahan memasukkan kucing ke dalam mesin pengering pakaian, pada September tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap A Mohanraj, 42, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah selepas kes disebut semula.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 14 September tahun lalu.

Pada 20 September lalu, Mohanraj; juruteknik, SS Satthiya, 26, dan pekerja kontrak, K Ganesh, 41, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan melakukan perbuatan itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap kucing itu di kedai dobi Queen Self-Service, Taman Gombak Ria, Selayang, pada 11 September tahun, jam 12.54 tengah malam hingga 1 pagi.

Mereka didakwa mengikut 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dihukum mengikut Seksyen 29 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Satthiya bagaimanapun dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan, manakala Ganesh mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Roslan Mohd Isa mohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal atas perbuatannya.

“Ia membabitkan kepentingan awam. Sikap tertuduh menganiaya dan menzalimi haiwan yang tidak melawan tidak boleh diterima masyarakat.

“Sepatutnya tertuduh sebagai manusia berakal perlu melindungi binatang tidak berdosa kerana kucing itu tidak mendatangkan bahaya,” katanya.

Sementara itu tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan.

“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas perbuatan ini. Saya sudah insaf dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.

“Sepanjang berada di dalam tahanan saya dihina dan diejek oleh banduan lain sehingga jatuh sakit,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pada 11 September lalu, pengadu yang juga pengurus premis dobi itu menerima panggilan telefon daripada pelanggan yang memaklumkan terdapat bangkai kucing dalam mesin pengering baju bernombor siri D12.

Selepas memeriksa mesin itu, pengadu memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki mengambil kucing yang berada di bawah meja lipat serta mencampakkan haiwan itu dan menutup mesin pengering.

Kedua-dua tertuduh kemudian memasukkan token dan menekan butang mula sebelum beredar meninggalkan kedai dobi.

Pengadu terpaksa menutup sementara kedai dobinya bagi proses pemulihan dan pembersihan premis akibat bau bangkai.

Beliau kemudian membuat satu laporan polis dan tangkapan dibuat pada 14 September tahun lalu.

Pegawai penyiasat membuat siasatan dengan mengambil sampel bulu dan darah dalam mesin pengering itu dan hasil siasatan mengesahkan DNA adalah berpadanan dengan kucing jenis domestik.

Pegawai penyiasat juga mendapatkan rakaman CCTV dari dobi dan dihantar ke Cybersecurity Malaysia untuk dianalisis.

Hasil analisis mendapati wajah salah seorang lelaki adalah berpadanan dengan tertuduh dalam kes ini.

Pada 13 September lalu, media melaporkan seekor kucing bunting ditemui mati dalam keadaan berdarah akibat melecur di kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 11:47 AM