Sarah Zulkifli

SEORANG lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh seekor kucing bunting yang dimasukkan ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Batu Caves, direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri di Mahkamah Majistret Selayang, pagi ini.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan membunuh haiwan.

Difahamkan, suspek yang juga pekerja kontrak itu ditahan polis malam tadi di Seri Kembangan, selepas hampir sebulan dia melarikan diri.

Terdahulu, lelaki yang memakai baju merah itu masuk ke Mahkamah Majistret kira-kira jam 10.15 pagi sebelum keluar 45 minit kemudian.

Turut kelihatan, peguam yang mewakili suspek, Rajsurian Pillai.

Sebelum ini, pada 21 September lalu, dua rakannya, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan dengan kejam menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan itu.

Kedua-dua tertuduh, A Mohanraj, 41, pemandu teksi dan rakannya, S S Satthiya, 26, bagaimanapun ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana tidak mampu membayar jaminan masing-masing berusia RM18,000.

Pada 13 September lalu, media melaporkan seekor kucing bunting ditemui mati dalam keadaan berdarah akibat melecur di kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditularkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia sejak awal pagi itu mendapat kecaman nitizen.

Berita berkaitan

[UPDATE] Akhirnya kena tangkap!

''Kejamnya! [METROTV]''

''[UPDATE] Pembunuh kucing bunting diburu''

'Nah, ini tiga suspek bunuh kucing!'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:59 AM