FAZILLAH Ahmad, 34, (kiri) menunggu proses bedah siasat anaknya, Aidil Ashraff Rizuan, 5, (gambar kecil) yang maut dalam kemalangan di KM140 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin. FOTO Amin Ridzuan
FAZILLAH Ahmad, 34, (kiri) menunggu proses bedah siasat anaknya, Aidil Ashraff Rizuan, 5, (gambar kecil) yang maut dalam kemalangan di KM140 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin. FOTO Amin Ridzuan
Amin Ridzuan Ishak

“DIA berkali-kali menyebut ‘mak... mak... mak’ dan cuba merangkak seolah-olah ingin mencari ibunya,” kata Rahimah Yusuf, 63, yang cuba membantu Aidil Ashraff Rizuan, 5, selepas terbabit dalam kemalangan di KM140 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin, malam tadi.

Penduduk Kampung Sepayang itu berkata, dia cuba membantu kanak-kanak itu selepas dikeluarkan daripada kereta dan membawa dia ke rumahnya yang terletak berhampiran tempat kejadian.

Katanya, dia meletakkan kanak-kanak itu di atas tikar dan membantunya sebelum ketibaan pasukan perubatan dengan memberinya minum air selain cuba membersihkan luka di kepalanya.

“Dia kelihatan seperti tiada apa-apa (cedera) ketika itu tetapi berkali-kali menyebut mak, mungkin mencari kelibat ibunya. Dia juga mahu merangkak tetapi tidak berdaya.

“Saya cuba beri air, namun dia tidak mahu dan keadaannya semakin lemah sebelum dia dibawa ke hospital. Mungkin kanak-kanak itu meninggal dunia di hospital tidak lama selepas itu.

“Pilu dan sedih hati saya melihatnya terutama ketika dia mencari ibunya,” katanya ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rompin di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku 11.50 malam apabila Proton Saga dinaiki empat sekeluarga itu dikatakan memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan bas ekspres dinaiki 39 penumpang.

“Kereta itu kemudiannya terbabas dan masuk ke parit sebelah kiri bahu jalan, menghala ke arah Kuantan.

“Mangsa, Rakiah Mat, 64, dan Rosli Mat Daud, 38, maut di lokasi kejadian, manakala Aidil Ashraff di wad kecemasan Hospital Rompin, sementara pemandu kereta, Rizuan Mat Daud, 34, parah.

“Pemandu bas ekspres dan penumpang tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, cuaca hujan mengakibatkan permukaan jalan basah selain jalan dua lorong dan berselekoh.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Mama, nak kek Upin Ipin'
  • Tiga sekeluarga ajal bersama
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 3:21 PM