WANY Hasrita. FOTO Zunnur Al Shafiq
WANY Hasrita. FOTO Zunnur Al Shafiq
Syafil Syazwan Jefri

Apabila berada di tahap tertentu dalam industri hiburan, seseorang artis tentu akan menjadi rujukan dan penanda aras bagi perjalanan karier di masa akan datang.

Bagi Wany Hasrita, dia sentiasa mahu menjadi yang terbaik dan berusaha memperbaiki kelemahannya.

Namun, itu tidak menjadi tekanan buat penyanyi berusia 26 tahun ini kerana dia tahu hala tuju dan apa yang perlu dilakukan.

“Saya tak anggap ia sebagai tekanan tetapi saya jadikannya sebagai penguat untuk terus mencari sesuatu yang baik untuk karier saya.

“Sebagai manusia, tentu saya nak memperbaiki apa yang saya boleh dan tak mahu terus berada di takuk lama,” kata Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31 ini.

Melihatkan kejayaan besar yang dicapainya sepanjang 2018, Wany merancang menjadikan 2019 sebagai satu lagi tahun terbaik untuknya.

“Jika ditanya mengenai perancangan untuk 2019, tentu ada beberapa perkara ingin saya rencanakan. Bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga keluarga.

“Jika tiada aral, tahun depan saya rancang membeli rumah dan membawa keluarga mengerjakan umrah,” katanya.

Selain itu, penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Menahan Rindu ini tidak mahu menjadi terlalu leka dengan kejayaan.

“Tahun depan saya tak mahu terlalu leka. Saya mahu lebih fokus kepada karier saya dan bekerja dengan lebih kuat,” katanya.

WANY Hasrita. FOTO Zunnur Al Shafiq
WANY Hasrita. FOTO Zunnur Al Shafiq

Terlalu Memuja buat Wany menangis

Bagi meneruskan kelangsungan nama dan karier nyanyiannya, Wany bakal hadir dengan single baru berjudul, Terlalu Memuja.

Menurut Wany, lagu ciptaan Sharon Paul itu menampilkan sisi berbezanya dan ‘lari’ sedikit daripada lagu-lagu yang dirakamnya sebelum ini.

Katanya, dia ingin melangkah dengan lebih matang dalam muzik dan tidak mahu kekal dengan muzik seperti sebelum ini.

“Saya tahu, mungkin peminat sudah biasa mendengar saya menyanyikan lagu berentak 1990-an, tapi kali ini sedikit berbeza.

“Ini masanya untuk saya jadi lebih matang kerana suara saya pun semakin lama, semakin matang berbanding di awal kemunculan. Menerusi lagu ini, saya rasa seperti baru keluar dari kepompong,” katanya.

Menurut Wany, Terlalu Memuja juga benar-benar menyentuh jiwanya apabila menitiskan air mata tatkala berbicara mengenai lagu itu.

“Ia mengisahkan mengenai seorang wanita yang terlalu memuja seorang lelaki, namun cintanya tidak berbalas. Dia juga mula menyedari, sudah saatnya untuk dia ‘move on’.

“Sejujurnya, lagu ini sangat dekat di hati saya dan berjaya menyentuh perasaan saya,” katanya.

Sementara menantikan single itu dilancarkan menjelang tahun depan, Wany kini masih mempromosikan single duet terbarunya bersama Tajul yang berjudul Aku Serius.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 6:00 AM