AZAM tahun lalu tercapai tahun ini. FOTO Nizar Hafiz Mustafa
AZAM tahun lalu tercapai tahun ini. FOTO Nizar Hafiz Mustafa
Sudirman Mohd Tahir

SEJAK di awal kemunculan sehingga usia mencecah 28 tahun, penyanyi popular Wany Hasrita tidak pernah lekang daripada terus diajukan soalan mengenai kekasih hati.

Walaupun sebelum ini Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah pernah dikaitkan dengan beberapa artis lelaki, Wany bijak menyangkal gosip itu.

Namun, tahun 2020 ini menyaksikan Wany yang popular menerusi lagu Belenggu Rindu duet bersama Datuk Jamal Abdillah terbuka berbicara soal jodoh dan pasangan hidup.

Walaupun tidak berkongsi lanjut mengenai perkara itu, perkongsian Wany sedikit sebanyak menggembirakan peminat.

“Bercinta sudah lama. Apa boleh dikatakan, saya memang sedang berkawan dengan seseorang,” katanya ringkas.

Ditanya mengenai perancangan untuk berkahwin, Wany menyasarkan awal tahun depan.

“Soal kahwin, ini semua jodoh ditentukan Allah SWT. Saya hanya doa yang terbaik. Kalau ikut perancangan mungkin awal tahun 2021. Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai kerjaya dan pencapaian sepanjang tahun lalu, Wany berkata, impian untuk membawa ibu menunaikan umrah dan membeli rumah belum tercapai.

“Matlamat dan azam saya tahun lalu adalah untuk membawa ibu pergi umrah dan membeli rumah. Tapi, kedua-dua itu tak kesampaian lagi.

“Alhamdulillah, kedua-duanya saya bawa ke tahun ini. Sekarang saya dalam proses urusan pinjaman rumah. Ketika ini juga saya, ibu dan keluarga sudah berada di Makkah,” katanya yang berangkat mengerjakan umrah, Isnin lalu.

“Dari segi kerjaya pula, saya sangat berpuas hati. Dalam masa sama, lagu Terlalu Memuja dapat mengembalikan aura Menahan Rindu. Walaupun Menahan Rindu orang masih ingat, tapi semuanya okay.

“Saya juga berpeluang dapat bekerjasama dengan Datuk Jamal yang juga penyanyi kegemaran dan idola. Jadi, sangat bersyukur dan banyak dapat ilmu daripadanya,” katanya.

TERUJA dapat menyertai Misi Kemanusiaan. FOTO Nizar Hafiz Mustafa
TERUJA dapat menyertai Misi Kemanusiaan. FOTO Nizar Hafiz Mustafa

Mengenai kerjaya tahun ini, Wany berkongsi bakal muncul dengan single baru hasil ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini.

Menurut Wany, lagu itu jauh berbeza dengan semua lagu sebelumnya sekali gus membuktikan dirinya berani keluar dari zon selesa.

“Saya ada lagu baru ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini. Lagu ini memang keluar sikit dari kepompong muzik balada. Ia ‘catchy’ dan rancak.

“Saya sudah pun ambil langkah berani dan lagu terbaru ini memang lain. Saya juga merancang untuk merakamkan muzik video yang lebih eksotik dan ‘daring’ sikit dari biasa,” katanya.

Selain itu, Wany berkongsi rasa teruja apabila buat pertama kali terbabit dalam program Misi Kemanusiaan dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO), Syria Care.

“Saya tidak menjangka dapat bekerjasama dengan mereka. Memang sudah lama saya nak buat. Cuma terlambat mengenali mereka dan terlambat untuk menyertai misi kemanusiaan ini.

“Jadi, saya harap dapat buat terbaik dan banyak lagi ilmu perlu ditimba. Apatah lagi ini kali pertama bekerja dengan NGO. Harap semuanya mencukupi. Insya-Allah, bulan April ini kami akan ke kem pelarian Syria untuk memberikan sumbangan. Ini juga pertama kali buat saya. Harap semuanya dipermudahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 6:00 AM