VIDEO muzik Hasrita nyanyian Tajul sudah mencatat lebih 1.5 juta tontonan. FOTO Ihsan Instagram Tajul
VIDEO muzik Hasrita nyanyian Tajul sudah mencatat lebih 1.5 juta tontonan. FOTO Ihsan Instagram Tajul
Norhayati Nordin


PENYANYI lagu Sedalam Dalam Rindu, Tajul, 19, menafikan single ketiganya berjudul Hasrita ditujukan buat penyanyi Wany Hasrita.

Adik bongsu Allahyarham Achik Spin itu ketika ditemui memberitahu dia menerima banyak kecaman daripada pelayar di YouTube berhubung single Hasrita itu.

Menurutnya, video muzik rasmi single Hasrita itu sudah hampir tiga minggu dimuat naik di YouTube dan ramai mendakwa lagu berkenaan ditujukan kepada Wany Hasrita.

“Terus-terang, saya tidak tujukan lagu itu buat Wany pun. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai penyanyi, dan bersikap profesional dalam urusan kerja saya.

“Walaupun ramai yang menulis komen mengatakan saya masih terhegeh-hegeh menagih cinta Wany, biarlah mereka nak fikir apa kerana realitinya hanya saya yang tahu.

“Apapun, saya ingin tegaskan bahawa single Hasrita itu memang tidak ada kena-mengena langsung dengan Wany Hasrita. Kalau inginkan kepastian lanjut, boleh tanya kepada komposer dan penulis lirik lagu itu, Harun Ahmad,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Tajul, dia yakin Harun ada jawapan tersendiri sebagai pencipta lagu Hasrita termasuk menjelaskan pemilihan judul lagu itu.

“Ingin dijelaskan lagi, saya tidak terhegeh-hegeh pun menagih cinta Wany kerana kami hanya rakan seperjuangan dalam karier seni. Saya sedar diri dan apa matlamat ingin dicapai dalam karier ini.

“Saya dan Wany, kami hanya rakan duet dalam lagu saja. Untuk soal peribadi, saya ada haluan hidup sendiri dan Wany dengan pilihannya,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Tajul Ariff Md Shari ini, bagaimanapun dia berterima kasih dengan semua komen daripada pelayar di YouTube yang sudah menonton video muzik single Hasrita.

Sejak dimuat naik di YouTube mulai 27 April lalu, video muzik Hasrita nyanyian Tajul sudah mencatat lebih 1.5 juta tontonan.

Terdahulu, Tajul pernah dikait gosip bercinta dengan Wany Hasrita kerana keserasian mereka sebagai pasangan duet menerusi single Disana Cinta Disini Rindu dan Rindu Dalam Benci.

Mengulas juga mengenai kriteria wanita idamannya, Tajul berkata, dia memilih wanita matang, memahami karier, menghormati orang tua dan menerima dirinya seadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 12:45 PM