Mohd Sabran Md Sani


“ANGAH nak sihat dan bantu keluarga.” Itu antara ungkapan Muhamad Fadizrul Azraain Billah Zulkifly sejak disahkan menghidap empat kanser iaitu kanser hidung, hati, paru-paru dan selaput otak.

Keceriaan wajah anak kedua berusia 23 tahun dari enam beradik itu berubah sepenuhnya apabila terpaksa menanggung kesakitan selepas disahkan menghidap empat penyakit berkenaan pada Mac tahun lalu.

Sejak dikesan menghidap penyakit, dia yang lebih dikenali sebagai angah menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi dan badannya kini semakin lesu selain kehilangan lebih separuh berat badannya dari 70 kilogram (kg) kepada hanya 30 kg.

Bapanya, Zulkifly Mohamed, 55, berkata, penyakit dialami anaknya itu mula dikesan selepas dia mengalami gejala pendarahan hidung.

“Mulanya saya berubat cara kampung dengan meletakkan sirih tetapi saya tidak sedap hati dan membuat pemeriksaan di HSI (Hospital Sultan Ismail).

“Selepas menjalani x-ray, doktor mengesan terdapat kuman kanser pada bahagian pangkal hidung angah,” katanya ditemui di rumahnya di Blok G, Jalan Tasik 64, Flat Seri Alam di Pasir Gudang, hari ini.

Menurutnya, ketumbuhan pada bahagian hidung yang disangka sudah berakhir selepas menjalani kemoterapi dan radioterapi selepas disahkan kanser tahap dua tahun lalu hanya bertahan sehingga Julai lalu.

“Dalam tempoh itu, anak sering mengadu mengalami sakit kepala dan terpaksa dihantar ke bahagian kecemasan HSI sekali lagi untuk rawatan lanjut.

“Selang seminggu kemudian, doktor mengesahkan kuman kanser sudah merebak ke selaput otak, paru-paru dan hati,” katanya yang tidak bekerja kerana mengalami penyakit jantung.

Katanya, anaknya disahkan mempunyai tiga kanser tahap empat iaitu paru-paru, selaput otak dan hati selain kanser pangkal hidung tahap dua.

“Jika darah dan dirinya baik, kemoterapi itu akan diteruskan dengan dos rendah. Dia juga bergantung kepada susu khas, nestum, sardin dan roti selain mengalami muntah-muntah lebih 10 kali sehari,” katanya.

Zulkifly mengakui keluarganya sebelum ini hanya bergantung kepada pendapatan angah, selain anak sulung, Muhamad Fadzizrul Azraain Billah Zulkifly, 24, yang juga ahli kumpulan Nota Band.

“Angah kini terlantar di rumah dan perlu menjalani rawatan susulan membabitkan kemoterapi dan pemeriksaan darah selain bergantung kepada pelbagai ubat,” katanya.

Katanya, dia dan isteri, Zaitun Salleh, 50, yang kurang sihat akibat masalah sakit lutut juga tiada pendapatan lain bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Keluarganya juga meminta individu yang mengutip derma melalui akaun persendirian tidak lagi berbuat demikian sebaliknya boleh menyalurkan bantuan itu terus melalui akaun Bank Rakyat miliknya, Zulkifly Mohamed 220173-28-4976.

Terdahulu keluarga itu dikunjungi Pengurus Pembangunan Kanan Perbadanan Islam Johor (PIJ), Azizi Redza Zainal yang menyampaikan sumbangan Tabung Wakaf Johor bernilai RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 8:29 PM
MUHAMAD Fadizrul Azraain Billah. FOTO Zain Ahmed
MUHAMAD Fadizrul Azraain Billah. FOTO Zain Ahmed