FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Safuri Kamarudin

“JIKA benar ia beracun (laksa) kami mati dulu,” itu kata pemilik gerai jualan laksa kebok di Baling, Daud Ismail, 51, yang kesal dengan tuduhan melulu ke atas perniagaannya tanpa usul periksa.

Daud yang berasal dari Kampung Landak, Kupang, Baling, mendakwa, dia yakin laksa dijual sejak 2003 tidak tercemar, malah disediakan dengan baik.

Menurutnya, setiap kali sebelum dijual, dia dan ahli keluarga akan merasa terlebih dahulu laksa berkenaan.

“Jika beracun, saya dan keluarga dulu yang akan mati malah kami berniaga sudah 15 tahun, cuma baru tiga tahun buka gerai depan rumah.

“Apa pun kami akan rasa dulu laksa sebelum dijual, sama ada masin, tawar atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Selain itu, katanya, tiada sebarang bahan tambahan dimasukkan dalam laksanya selama ini.

“Kita sedia macam itu dari dulu, ‘ubat tahan’ pun tak pernah dibawa masuk dalam masakan. Jika orang nak beli bawa balik jauh pun kami akan asingkan kuah sebab tak mahu basi.

“Saya hanya mengetahui laksa dijual dikait dengan keracunan selepas Pejabat Kesihatan Daerah Baling datang melakukan pemeriksaan pada 11 pagi kelmarin,” katanya.

Menurut Daud, pihak terbabit mengambil sampel laksa, kuah dan sayur.

Katanya, kali kedua mereka membuat pemeriksaan pada jam 9 pagi semalam, namun hanya mengambil sayur sahaja.

“Kami juga hanya mengetahui ada dua orang mati selepas makan laksa ini malam kelmarin selepas menerima mesej yang tular.

“Selepas itu, saya rasa susah hati, nak makan nasi tak lalu, tidur tak lena dan fikir siapa lagi nak datang rumah,” katanya.

Daud berkata, pucuk selom digunakan dalam laksa pada hari Isnin hingga Ahad, manakala salad pada Rabu hingga Sabtu.

“Pucuk selom saya beli di Sik, jika ada baki akan dibawa sampai Selasa, manakala salad pula dibeli dari pasar di Pekan Kupang di mana setiap minggu saya membeli di tempat sama.

“Kesan tular itu dapat dilihat apabila pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan dan menoleh ke gerai jualan saya kerana kebiasaannya tidak begitu,” katanya.

NSTP semalam melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling.

Berita berkaitan

Sah, dua maut 'makan' laksa...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 12:14 PM