ORANG ramai mengambil juadah yang disediakan pada majlis kenduri kesyukuran di rumah pemilik laksa kebok di Kampung Landak, Kupang. FOTO Safuri Kamarudin
ORANG ramai mengambil juadah yang disediakan pada majlis kenduri kesyukuran di rumah pemilik laksa kebok di Kampung Landak, Kupang. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin

LEBIH 2,000 tetamu menghadiri majlis kenduri kesyukuran pemilik gerai laksa kebok di Kampung Landak, Kupang, Baling selepas pemiliknya dibenarkan meneruskan perniagaan itu.

Daud Ismail, 52, berkata, dia bersyukur apabila wakil Pejabat Kesihatan Daerah Baling semalam, membuang pita larangan selepas perniagaan itu terpaksa ditutup selama 20 hari akibat isu keracunan.

“Syukur hari ini ramai tetamu datang menjamu selera dengan pelbagaI hidangan disediakan... mereka juga tidak takut menjamu selera malah kakitangan Jabatan Kesihatan turut makan bersama.

“Antara hidangan istimewa hari ini adalah gulai kawah ayam, gulai batang pisang, laksa kebok dan laksa udang tertungging,” katanya ketika ditemui pada majlis itu, hari ini.

NSTP sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan mengesahkan 61 kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling dengan kejadian turut membabitkan dua kematian.

Difahamkan, Daud menyediakan lebih 150 kilogram laksa untuk tetamu yang hadir dari sekitar Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Sementara itu, tetamu, Saadah Mahmud, 63, dari Sik berkata, dia adalah pelanggan tetap laksa kebok sejak sekian lama.

“Saya sekeluarga akan terus membeli laksa kebok dan tidak berasa takut untuk memakannya kerana yakin dengan peniaganya.

“Rasa laksa kebok memang sedap kerana ia dihasilkan secara tradisional oleh keluarga itu sejak sekian lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 6:45 PM