GERAI Laksa Kebok milik Daud yang masih ditutup di Kampung Landak, Kupang, Baling, hari ini. FOTO Safuri Kamarudin
GERAI Laksa Kebok milik Daud yang masih ditutup di Kampung Landak, Kupang, Baling, hari ini. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


“SAYA sungguh kecewa kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih gagal memberi jawapan keputusan sampel makanan walaupun pihak berkenaan berulangkali datang membuat pemeriksaan berikutan laksa kebok yang dikatakan punca keracunan,” kata pemilik gerai, Daud Ismail, 51.

Daud dari Kampung Landak, Kupang, Baling berkata, dia tidak menjalankan perniagaan sejak dua minggu lalu sekali gus menjejas pendapatan harian kerana bergantung dengan meniaga laksa untuk menyara keluarga.

Katanya, perniagaannya terjejas kerana pihak KKM belum memberi jawapan sedangkan dia sudah memberi kerjasama sepenuhnya dan membenarkan mereka membuat pemeriksaan semua bahan makanan.

“Malah ahli keluarga saya turut membuat suntikan kesihatan seperti yang dikehendaki oleh pihak yang berkenaan.

“Namun sehingga kini belum menerima jawapan. Saya tidak tahu benarkan laksa kebok yang menjadi sumber rezeki keluarga sebagai punca keracunan,” katanya.

Daud berkata, dia mengalami kerugian antara RM500 sehingga RM600 sehari kerana tidak dapat berniaga.

“Kalau hari cuti pendapatan turut bertambah, namun kini saya hilang punca pendapatan.

“Saya perlu menjelaskan segala bil-bil, ansuran kereta, pengajian anak dan rutin harian,” katanya.

Menurutnya, sejak 8 Oktober lalu, perniagaannya diarah tutup tetapi hampir dua minggu tiada jawapan daripada KKM sedangkan pelbagai sampel makanan sudah diambil untuk ujian makmal.

Katanya, pihak KKM sudah mengeluarkan pelbagai kenyataan sedangkan keputusan sampel belum diketahui.

“Adakah laksa kebok yang diusahakan sejak 15 tahun lalu punca keracunan itu.

“Jika bukan sudah tentu merosakkan perniagaan saya sejak sekian lama dan jangan menganiaya perniagaan ini yang menjadi sumber rezeki kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 8:07 PM