Agensi

GUATEMALA CITY: Seorang ibu memberi pengajaran paling sakit dan memalukan kepada anaknya apabila menyebat anak perempuannya di khalayak ramai selepas dituduh mencuri pakaian daripada sebuah kedai di timur Guatemala.

Menurut laporan Daily Mail yang memetik media tempatan, Tomasa Tzoc Tipaz, 35, dipaksa melutut di khalayak ramai di kampung San Antonio Ilotenango sebelum disebat 15 kali oleh ibunya dan datuk bandar tempatan.

Dia sebelum itu ditangkap kerana didakwa mencuri, enggan mendedahkan siapa rakan subahatnya kepada pihak berkuasa yang kemudian mengarahkan hukuman sebat terhadapnya.

Tomasa dibawa ke padang bola dan penduduk dipanggil untuk menyaksikan hukuman itu dilaksanakan.

Rakaman video menunjukkan dia membongkok dan mengangkat baju ke atas kepala.

Ibunya menyebat belakang Tomasa lima kali dengan ranting kayu sebelum disambung Datuk Bandar, Maria Lucas.

Selepas dirotan, Tomasa yang menangis memeluk ibunya sambil meminta maaf sebelum diarahkan berpindah ke bandar berhampiran, Santa Cruz del Quiche kerana pihak berkuasa San Antonio Ilotenango menyatakan tidak boleh menjamin keselamatannya.

Seorang penduduk, Jose Ajpop berkata, hukuman itu menunjukkan mereka tidak boleh bertolak ansur dengan individu yang melakukan jenayah.

“Hukuman itu mungkin tegas tetapi ia perlu dan kami membenarkan kanak-kanak melihatnya supaya mereka faham serta tidak melakukan perkara buruk. Kita tidak minta penjenayah datang ke sini,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Santa Cruz del Quiche, Juan Zapet berkata, lima sebatan dilakukan kerana menyinggung alam dan pencipta, lima sebatan lagi kerana menyinggung orang ramai dan selebihnya kerana menyinggung mangsa.

Zapet berkata, mereka menyiasat kecurian itu bagi membolehkannya menahan dua lagi suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 7:00 AM