SEORANG lelaki meletakkan bunga bagi memperingati mangsa-mangsa kapal terbakar di luar pantai California yang telah meningkat kepada 25 orang. FOTO AFP
SEORANG lelaki meletakkan bunga bagi memperingati mangsa-mangsa kapal terbakar di luar pantai California yang telah meningkat kepada 25 orang. FOTO AFP

Oxnard (Amerika Syarikat): Angka korban tragedi kapal terbakar di luar pantai California meningkat kepada 25 orang apabila pasukan penyelam menemui 17 lagi mayat, kata media.

Sebelum ini, pihak berkuasa melaporkan lapan mangsa ditemui mati dan ramai yang masih hilang dalam tragedi pada awal pagi semalam itu.

Jurucakap Pengawal Pantai divisyen Los Angeles dan pejabat Sherif Santa Barbara, California masih belum mengesahkan laporan CBS News dan Associated Press mengenai operasi menyelamat di perairan Santa Cruz itu.

Bot menyelam skuba dikenali sebagai Conception itu dilapor terbakar menjelang subuh semalam ketika membawa penyelam di sekitar Pulau Santa Cruz, di barat Santa Barbara, selatan California.

Syarikat pengendali bot berkenaan, Truth Aquatics berkata Conception mampu memuatkan sehingga 46 orang penumpang dan dijadual pulang pada Isnin selepas lawatan tiga hari ke beberapa lokasi menyelam di sekitar Pulau Santa Cruz. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 2:53 PM